Mengekalkan warisan kesenian bangsa.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR.
Usaha
mengekalkan warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia adalah menjadi
tanggungjawab semua rakyat di negara ini. Bukan hanya kepada pewaris
seni dan budaya sahaja. Masyarakat Malaysia telah mewarisi pelbagai jenis
kesenian. Pewaris budaya bangsa pada masa depan adalah generasi hari ini.
Melalui pendidikan warisan kesenian bangsa dapat dipelajari.
Bagi
membina remaja yang cemerlang dan memahami budaya, mereka mestilah memahami dan
menghayati budaya bangsa. Budaya bangsa adalah asas kepada pembentukan
kebudayaan kebangsaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Asas
kehidupan budaya kebangsaan adalah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau
ini. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi
unsur Kebudayaan kebangsaan. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan
Kebudayaan kebangsaan itu. Agama dan kebudayaan sangat berkait rapat dengan
kehidupan.
Fenomena
pada masa kini, kalangan remaja lebih mengenali “budaya luar” atau budaya Barat
yang dibawa masuk melalui TV dan juga Internet. Perkara ini seharusnya tidak
berlaku jika remaja dididik dan diberi kefahaman tentang uniknya budaya
tempatan di Malaysia.
Sebagai
contoh, muzik dan tari ciri kehidupan yang melahirkan gerak irama,
menghantar manusia ke alam luas, jauh dan syahdu. Rentak dan genderang memberi
semangat kepada pahlawan yang sedang berjuang. Rayuan gita (lagu) harapan ibu
dikatakan mempercepatkan membesar sang bayi dalam ayunan.
Pelbagai
jenis warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi muzik, alat
muzik, tarian, kraf tangan, permainan, seni bina dan lukisan. Semua warisan ini
amat berharga dan bernilai kepada negara. Kalangan remaja harus memahami dan
menghayati semua warisan ini.
Justeru,
warisan kesenian ini juga menjadi aset dan tarikan para pelancong. Sebagai
contoh, jenis-jenis muzik Melayu tradisional antaranya ialah muzik makyung, Mek
Mulung, Ghazal, wayang kulit dan sebagainya.
Di
Sabah saja mempunyai kira-kira 32 jenis tarian daripada pelbagai jenis etnik.
Tarian Mongigol Sumundai, Sumayau dan Semazau Penampang merupakan beberapa
jenis tarian untuk pemujaan semangat. Di Pahang ada Tarian Labi-Labi
dan Tarian Pelanduk yang unik dan perlu diketengahkan selain masih banyak
lagu-lagu rakyat yang perlu dikomersialkan. Begitu juga bagi negeri-negeri lain
seperti Terengganu dan Kelantan.
Selain
itu, bidang muzik mengikut cara bunyi dihasilkan, alat muzik tradisional kaum
di Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Pertama, getaran pada tali
yang ditegangkan seperti alat muzik India iaitu Tampura, alat muzik Cina Erh-Hu.
Kedua, di pukul pada kulit yang ditegangkan iaitu Geduk alat muzik Melayu dan
Tabla alat muzik kaum India.
Beberapa
alat muzik ini sangat penting kerana ia digunakan untuk mengiringi persembahan
dalam upacara tertentu. Selain itu, tarian-tarian suku kaum di
Malaysia telah diwarisi sejak beberapa abad yang lalu. Setiap tarian
tradisional mempunyai fungsi tertentu.
Kraf
tangan suku kaum di Malaysia juga ada berbagai-bagai jenis. Kraf tangan ini
diperbuat daripada pelbagai bahan seperti mengkuang, kayu, manik, benang,
logam, tanah liat dan sebagainya. Keunikan ini harus dibanggakan oleh kita rakyat
Malaysia yang kaya dengan kesenian kraf tangan.
Permainan
tradisional pula dapat mewujudkan interaksi sosial dalam masyarakat selain
daripada mengisi masa lapang. Pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh
didapati di kalangan kaum di Malaysia. Setiap permainan tradisional
ini menggunakan alat dan peraturan tertentu. Kita semua tentu tidak mahu,
permainan Internet akan menghapuskan permainan tradisional yang ada.
Di
samping itu, seni bina merupakan satu aspek warisan budaya yang penting ke rana
ia menunjukkan identiti dan kreativiti bangsa. Terdapat pelbagai bentuk seni
bina warisan kaum di Malaysia. Mengenali dan mempelajarinya adalah satu usaha
yang dapat mengekalkan seni bina bangsa kita.
Bentuk-bentuk
seni bina ini sangat unik terutama jika dilihat dari segi bumbung, tiang,
tangga, ukiran dan sebagainya. Sebagai contoh, rumah-rumah tradisional Melayu
ada beberapa bentuk. Antaranya, Rumah tiang 12, Rumah Perabung Lima, Rumah
Bujang Barat, Rumah Bumbung Perak dan Rumah Perabung Panjang.
Begitulah indahnya dan terdapat pelbagai ciri serta bentuk rumah tradisional
Melayu.
Memetik
pandangan Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah, sebagai berkata seni bina penting
kerana ia menunjukkan nilai kreativiti seseorang dan warisan sesuatu bangsa. Ia
mesti dapat disesuaikan dengan diri dan budaya kita dalam menerap kemajuan
teknologi, kemajuan perniagaan dan lain-lain tanpa mengetepikan adat dan budaya
bangsa Malaysia.
Menurutnya,
seni bina yang mempunyai nilai-nilai sejarah perlu dipelihara agar ia tidak
dilupakan dan sentiasa diingat oleh setiap golongan masyarakat. Ia juga perlu
dijaga dengan baik agar masyarakat dapat melihat evolusi bangsa.
Justeru,
kita juga perlu ada satu pendekatan dalam evolusi seni bina agar apa juga yang
dihasilkan dapat mencerminkan budaya dan masyarakat kita sendiri dan bukan
sekadar dicedok atau diambil dari pengaruh-pengaruh luar atau internet. Media
adalah suatu yang dinamik. Kita tidak boleh terima apa saja yang disiarkan,
tetapi ia perlu ditapis.
Sebagai
contoh, Istana Budaya setaraf dengan Royal Albert Hall di London. Reka
bentuknya mementingkan ciri-ciri kebudayaan Melayu. Tapak bangunan ini direka
berdasarkan wau bulan. Bumbung Istana Budaya berkonsepkan gubahan sirih
junjung. Ruang dalamnya berkonsepkan rumah Melayu.
Sementara
itu, lukisan suku kaum di Malaysia juga merupakan satu cabang seni yang tinggi
nilainya. Sebagai contoh, orang Cina menggunakan motif hiasan yang pelbagai
dalam seni lukisan berdasarkan lagenda, falsafah, sejarah dan tradisi aliran
agama Buddha, pengajaran Tao dan Confucious. Simbol lukisan orang-orang Cina
berbeza daripada simbol budaya lain kerana sesuatu corak yang dipilih mempunyai
makna yang tersendiri.
Justeru,
kita mengharapkan generasi muda pada masa kini dapat memahami unsur budaya dan
pelbagai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan jati diri sebagai rakyat
Malaysia yang memahami budaya tradisional masyarakatnya.
Kelainan
dan kesatuan ini menjadikan budaya masyarakat Malaysia sangat unik dan menjadi
daya tarikan para pelancong dari luar negara. Mereka melihat semua warisan
kesenian pelbagai kaum sebagai satu seni yang unik dan dapat menyatupadukan
perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Hakikatnya,
Malaysia mengandungi berbagai-bagai masyarakat dan budaya; tetapi
apa yang dicita-citakan oleh kita semua pada satu peringkat, ialah integrasi
yang melampaui masyarakat dan budaya yang berbagai-bagai-bagai. Integrasi
inilah yang dapat dijalinkan bagi memperkukuhkan perpaduan dan dapat
dirasakan oleh rakyat Malaysia sebagai kebudayaan nasional mereka.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.
Mohon kemaskini blog - DPMP Pekan
ReplyDelete