Pada 18 Disember 2011,
hari terakhir Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) menutup tirainya
di Dewan Auditorium Akademi Kenegaraan Malaysia, Kuala Lumpur, semua orang
terpegun. Muhammad Lutfi Ishak selaku Pengarah PPMN III mengambil rostum di depan
lebih 150 peserta dan membaca resolusi yang baru sahaja disediakan pada pagi
Ahad itu.
Muhammad Lutfi dan
rakan-rakannya menyediakan harapan. Kini harapan itu menunggu untuk ditampung
dan didengar. Berhenti sejenak dan “baca”lah isinya.
Kelapan-lapan resolusi
milik himpunan penulis muda ini tampak gah, menyelami kecaknaan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan dan segala dasar dan perlembagaan kebangsaan yang
meliputinya. Sesungguhnya, aspirasi himpunan penulis muda ini masih mempercayai
dasar-dasar Malaysia dan segala yang tereja di dalamnya yang dapat membuahkan
hasil untuk penerusan citra sastera buat mereka. Kini, mampukah ia dilaksanakan
sepenuhnya?
Berikut ialah teks
Resolusi Perhimpunan Muda Nasional III:
Perhimpunan Penulis Muda
Nasional III atau PPMN III yang telah diadakan pada 16 hingga 18 Disember 2011
bertempat di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur mendapati aspek peribadi
pengarang tidak dapat dipisahkan dengan tanggungjawab sosial. Sebuah negara
yang maju dan stabil pada masa hadapan akan bergantung kepada generasi muda
yang berakhlak mulia, berwawasan tinggi, positif menghadapi pelbagai cabaran
masa hadapan serta mempunyai pandangan alam yang berteraskan Rukunegara dan
Perlembagaan Persekutuan. Penulis muda pula, sebagai agen penting, harus
memberikan peluang untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Untuk
melaksanakan hal tersebut, pelbagai usaha perlu dilakukan agar cita-cita kita
untuk melahirkan sebuah negara yang seimbang pencapaian material dan
kerohaniannya, PPMN kali ketiga dengan ini membuat ketetapan seperti berikut:
1. Memanfaatkan
nilai-nilai sejagat/universal sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam
pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara.
2. Kerajaan Malaysia mesti
mewartakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai
satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.
3. Menerima nilai-nilai
asing yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan Rukunegara bagi
tujuan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.
4. Kementerian Pelajaran
perlu memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan
menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang agar para pelajar
mendapat pendedahan kepada kedua-dua disiplin tersebebut.
5. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan
yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan
memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti
peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan
kreativiti.
6. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan
yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean
untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan
serantau.
7. Kementerian Pelajaran
dan Kementerian Pengajian Tinggi mesti memberikan biasiswa kepada penuntut
cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan
sama ada di dalam negeri atau di luar negara.
8. Agensi-agensi kerajaan,
kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu memperbanyak peruntukan untuk
menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan
penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak,
Sabah dan Semenanjung.
No comments:
Post a Comment