TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 17 June 2011

Mengembalikan sejarah keagungan Bahasa Melayu.



Mengembalikan sejarah keagungan Bahasa Melayu.
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor

Sejarah perkembangan bahasa Melayu mempunyai rentetan yang panjang dan berliku. Dalam hal ini, perkembangan bahasa Melayu bolehlah dibahagikan kepada tahap bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu peralihan dan bahasa Melayu baharu.

Kajian menunjukkan bahawa bahasa purba  wujud sejak 2,500 tahun sebelum Masihi, tetapi tidak ada bukti-bukti sejarah tentang  bentuk dan strukturnya. Tahap kedua bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan bukti pada batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit dan di Talang Tuwo, Palembang, di Kota Kapur, Pulau Bangka dan di Karang Brahi, Jambi.

Sementara, tahap ketiga bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi, serentak dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu, iaitu tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu seterusnya diwarisi dalam zaman selanjutnya. Tahap keempat menunjukkan peralihan  daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini iaitu zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali haji sekitar abad ke-19. Manakala tahap sesudah itu dikategorikan sebagai tahap bahasa Melayu baharu.

Disebabkan sejarah bahasa Melayu pada zaman awal kekurangan bukti sejarah, tetapi pada zaman kegemilangan Sriwajaya iaitu pada abad ke-7  hingga abad ke-13 bahasa Melayu menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerajaan dan diperluaskan dengan interaksi sosial sehari-hari. Akhirnya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rami dan bahasa pengantar di sekolah.

Lantaran itu, usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Bahasa Melayu tidak seharusnya dipolitikkan demi perpaduan dan menjadikan bahasa ilmu bagi semua pelajar di negara ini.

Telah terbukti, Bahasa Melayu telah berperanan menyatukan pelbagai kaum melalui bahasa pengantar, bahasa perantaraan dan bahasa komunikasi yang berkesan. Apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan tidak harus diganggu gugat bagi keharmonian bangsa dan rakyat di negara ini.

Melalui pandangan pelbagai pihak  untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, mulai tahun ini kerajaan telah memutuskan untuk menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan bahasa Inggeris (MBMMBI).

Justeru, MBMMBI dikatakan berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan akan terus menekankan aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Usaha dan langkah ini dikatakan memang dinanti-nantikan oleh banyak pihak demi masa depan anak bangsa yang akan menimba ilmu dalam bahasa sendiri. Melaluinya bahasa Melayu juga akan menuju ke arah bahasa ilmu dalam era globalisasi.

Selain itu, usaha ini dapat memperkukuhkan Bahasa Inggeris (BI)  yang akan dilaksanakan dengan penuh kesedaran bahawa BI akan menjadi bahasa komunikasi yang perlu dikuasai generasi muda untuk persediaan kepada mereka bersaing di peringkat nasional dan global.

Di samping itu, usaha meletakkan BM di tempat yang betul dilaksanakan menerusi beberapa langkah di sekolah  dan paling utama ialah melalui penggunaan bahasa itu  dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik.

Langkah seterusnya penambahan masa P&P Bahasa Malaysia pada Tahap Satu di SJK adalah sebanyak 30 minit 9dari 270 minit ke 300 minit), manakala bagi Tahap Dua jumlah peruntukan masa bagi P&P Bahasa Malaysia ialah 270 minit.

Melalui pengukuhan ini juga, penambahbaikan dalam kurikulum sekolah (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) meliputi kaedah pengukuhan dan penguasaan asas kemahiran berbahasa melalui pendekatan modular yang bersepadu seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

Guru-guru BM yang mencukupi dan berkualiti dengan penggunaan meluas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam P&P dalam mata pelajaran BM. Justeru, pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa, cabang pendidikan dan wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, bagi penguasaan BI tambahan masa bagi P&P Bahasa Inggeris juga dilakukan dan kualiti guru yang mengajar BI dengan mengambil 360 guru luar negara untuk melatih guru  BI  tempatan, di samping mengambil 600 guru BI yang bersara untuk mengajar semula di sekolah.

Justeru, melalui perkembangan dan pelaksanaan dasar MBMMBI ini akan dapat meningkatkan P&P BM dan BI di sekolah rendah dan menengah di negara ini. Tumpuan yang diberikan melalui kaedah dan teknik P&P yang terkini dapat meningkatkan penguasaan kedua-dua bahasa ini.

Pada masa kini penutur bahasa Melayu adalah dianggarkan 280 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Oleh itu, dengan harapan dan impian besar bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. Bangsa-bangs lain di dunia menganggap bahasa Melayu indah, mempunyai nilai estetik dan mempunyai perbendaharaan kata yang meluas.

Di sekolah, melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mempunyai pertalian dengan Falsafah Pendidikan Bahasa sebagai alat pengajaran dan pembelajaran bahasa dan mata pelajaran lain, pendidikan kokurikulum, dan pendidikan bahasa merentas kurikulum.

Pendekatan Bersepadu Pendidikan Bahasa Melayu di sekolah, selaras dengan Sukatan pelajaran bahasa Melayu iaitu fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi penduduk negara ini.

Semua ini meliputi, penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu, penguasaan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi. Pemahaman akan sistem bahasa Melayu untuk mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan hari-hari.

Selain itu, seluruh rakyat akan menghargai dan membanggakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta alat perpaduan rakyat, sesuai dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Setiap rakyat dapat menggunakannya dengan tepat dalam kehidupan sehari-hari, menggunakan bahasa Melayu  dengan berkesan dalam bidang ilmu pengetahuan dan dapat membaca pelbagai bahan sebagai amalan menimba ilmu pengetahuan dan memenuhi masa lapang.

Hakikatnya, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan rakyat negara ini, sekali gus menjadi bahasa ilmu pengetahuan. Pemupukannya mestilah dilakukan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta di peringkat universiti melalui pendekatan dan pengajaran dalam semua mata pelajaran dan komunikasi.



---------------------------------------------------selesai--------------------------------

No comments:

Post a Comment