TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 17 June 2011

Perjuangan Za’ba terhadap bangsanya tidak harus dilupakan.



Perjuangan Za’ba terhadap bangsanya tidak harus dilupakan.
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor

Kemajuan sesuatu bangsa adalah berpaksikan atau berakar umbi atas daya usaha bangsanya yang terdahulu mengasaskan dan menegakkan sesebuah tamadun bangsa. Sesuatu bangsa itu tidak wujud dan berjaya jika tiada mereka yang berwibawa mengasaskannya.

Dalam apa bidang seperti ilmu, pendidikan, politik, sastera, bahasa, budaya dan ekonomi mempunyai pengasasnya yang hebat yang telah meletakkan “batu asas” iaitu membina kejayaan seperti yang kita nikmati hari ini. Kita harus banyak belajar daripada sejarah perjuangan bangsa kita. Bangsa yang tidak menghargai perjuangan tokoh bangsanya yang terdahulu tidak akan berjaya dan maju.

Begitu jugalah kemerdekaan negara diwujudkan melalui pengorbanan harta dan nyawa. Selain itu, setiap bidang yang disebutkan di atas mempunyai pengasasnya tersendiri. Penulis sengaja mengimbau kembali nostalgia dan sejarah kegemilangan masa lampau bagi ingatan generasi masa kini. Memetik kata-kata ahli falsafah, George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.”

Sebagai contoh, Pendeta Za’ba atau lebih dikenali sebagai Zainal Abidin bin Ahmad adalah pengasas kepada tatabahasa Melayu baharu yang kita gunakan sekarang. Tanpa Za’ba tidak akan ada bahasa Melayu baharu pada hari ini.

Beliau adalah tokoh bahasa, pemikir dan cendekiawan ulung Melayu. Antara karyanya yang terkenal ialah Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu yang menjadi asas kepada perkembangan bahasa Melayu baharu.

Penulis memetik sajak perjuangan Za’ba yang bertajuk Zaman Maju yang mengisahkan perjuangan dan kesedaran bangsanya terhadap zaman bahari yang serba maju. Perubahan ini seharusnya mendapat perhatian. Perhatikan petikan sajak Zaman Maju.

Aku dan kamu
Hidup sekarang pada zaman maju,
Zaman pendapat baharu, fikiran baharu,
Tidak lagi seperti dahulu---
Zaman kebebasan dan perkembangan ilmu,
Manusia tidak lagi boleh diperlembu,
Buangkanlah segala perasaan kuno,
Segala fikiran beku yang keras kaku,
Segala kepercayaan karut yang hanya jadi belenggu,
Segala-galanya yang kini tidak lagi laku:
Lemparkanlah, tinggalkanlah sekalian itu,
Supaya kita senang selalu.

Kita mesti berani menggodam mengetuk,
Meruntuh meroboh segala yang lapuk,
Memotong yang busuk, memangkas yang bengkok
Mengganti membaharui dengan yang elok,
Mengikut panduan sebenar-benar petunjuk
Timbang sendiri, tidak mengikut telunjuk.

Hapuskan segala kepercayaan
Yang tak mempunyai kenyataan kebenaran,
Ingat, hati-hati kita mesti berani
Dengan tekad menurut suluhan abadi
Memecahkan sekatan kolot, walau seperti besi
Segala yang karat dikikis diganti.

-Za’ba
Petikan Suluh Bahasa DBP, 1965

Begitulah jauhnya pandangan dan pemikiran akal budi Za,ba terhadap bangsanya. Pemikiran dan pandangan ini bukan sahaja melalui sajak malah tulisan-tulisan lain yang berkaitan dengan jatuh bangun bangsanya iaitu bangsa Melayu. Beliau mahukan bangsanya berubah dari segi pemikiran lama dan kolot ke arah zaman yang lebih maju mengikut peredaran zaman.

Perlu diingat, gerakan politik pada era 1930 adalah bermula daripada kebangkitan dan perkembangan akhbar, majalah dan novel yang telah memainkan peranan penting dalam melahirkan semangat kebangsaan. Antara penulis terkenal pada tahun 1920-an termasuklah Za’ba.

Persoalan tentang sosial atau pendidikan, ekonomi dan politik juga telah dibangkitkan oleh Za’ba bersama rakan-rakan seangkatan dalam penulisan di akhbar secara menyeluruh pada tahun 1930-aan itu, bertujuan menyedarkan dan seterusnya memajukan bangsa Melayu.

Mereka membangkitkan perkara ini melalui tulisan di akhbar Warta Malaya, Lembaga Malaya, Majlis, Utusan Melayu, Warta Negara dan Fajar Sarawak. Sejarah tidak boleh menafikan perkara ini.

Bagaimanapun, baru-baru ini waris Pendeta Za’ba kesal kerana Teratak Za,ba yang dibina di Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan dengan kos RM2 juta kira-kira 10 tahun lalu didakwa tidak dijaga dengan baik apabila kebanyakan barangan yang diserahkan tidak dikembalikan, malah ada yang dikatakan hilang.

Soalnya, beginikah cara kita menghargai tokoh bangsa kita yang telah banyak berjasa dan mengangkat tamadun bangsa kita? Jawapannya hanya ada pada kita semua untuk menilai, menghargai dan mengingatinya.

Justeru sebagai langkah menyelamat, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Datuk Ibrahim Ismail, menyatakan, bagi pihak Jabatan Muzium mengambil katil besi milik Za’aba dan anugerah yang disampaikan Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Pendeta itu menerusi anaknya, Mohd Redza pada 1989 lalu. Kini kedua-dua artifak menjadi milik Muzium Negaradan akan ditempatkan di Teratak Za’ba pada masa yang sesuai.

Menurutnya, di Muzium Negara sendiri, Za’ba diletakkan pada martabat tertinggi apabila wajahnya diletakkan sebaris dengan tokoh pejuang kemerdekaan serta sasterawan negara.
Pengiktirafan dan jasa tokoh ini  seharusnya juga diingati oleh generasi muda pada hari ini.

Dalam hal ini, pihak kerajaan negeri dan pihak muzium juga mesti memastikan tokoh-tokoh besar seperti Tokoh Wartawan Tan Sri A.Samad Ismail, Pak Sako, Pak Melan Abdullah, tokoh pengarang Zainon Sulaiman, dan Harun Aminurrashid, Zakaria Hitam (Pak Zek), Ahmad Kotot, juga perlu diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Ingatlah: “Tiada yang lama, tak wujud yang baru”

No comments:

Post a Comment