TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday, 5 May 2011

Penyempurnaan agama melalui ibadah kerja.


Penyempurnaan agama melalui ibadah kerja.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.                   
Tersiar di Harian Metro 5/5/2011 

Tarikh 1 Mei adalah tarikh Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia. Pada tarikh ini semua majikan seharusnya memahami dan merasakan bahawa tanpa pekerja yang rajin jujur dan amanah semua matlamat sukar untuk dicapai. Begitulah pentingnya pekerja di sisi majikan.

Pekerja yang dedikasi, jujur dan amanah sukar untuk dicari pada masa kini. Kebanyakan mereka yang bekerja hanya untuk mendapat gaji dan imbuhan. Bekerja sebagai ibadah seharusnya menjadi matlamat dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Walau bagaimanapun, masih ada mereka yang bekerja dengan jujur, amanah, dedikasi dan menjadikan kerja sebagai ibadah dalam kehidupan. Mereka ini bekerja demi untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah, sama ada di sekolah rendah, menengah dan universiti.

Mereka mengharapkan kerja yang halal dan dari hasilnya akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga dan anak-anak pada masa akan datang. Konsep bekerja sebagai ibadah mestilah diterapkan dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan.

Melalui bekerja sebagai ibadah bertujuan untuk menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan fungsi segala anggota dan pancaindera manusia dengan bekerja sebagai amanah dan mengabdikan diri kepada Allah.

Justeru, ibadah perlu difahami dalam konsep yang lebih luas meliputi ibadah khusus (fardu ain) seperti solat, zakat, puasa dan haji di samping tuntutan ibadah umum (fardu kifayah) seperti kebajikan, melakukan pekerjaan, amalan sunat dan sebagainya.

Apa pun pekerjaan yang dilakukan mestilah halal agar dapat memberikan kebaikan dan pahala serta mendapat keberkatan di sisi-Nya. Pekerjaan yang tidak halal bukan sahaja menyumbang kepada dosa malah tidak akan mendatangkan keberkatan kepada diri, dan keluarga.

Keberkatan yang dimaksudkan di sini adalah wang yang diperoleh daripada hasil kerja walaupun sedikit tetapi mencukupi untuk menanggung dan menyara keluarga. Bagaimana pun wang yang diperoleh daripada kerja yang tidak halal tidak akan pernah cukup walaupun banyak.

Di sinilah konsep kerja sebagai ibadah juga menyumbangkan kepada keberkatan. Mereka yang bekerja dengan jujur, ikhlas, dedikasi serta amanah akan memperoleh pendapatan yang berkat.

Mencari rezeki yang halal daripada pekerjaan sangat digalakkan dalam Islam yang mendatangkan keberkatan. Allah berfirman yang bermaksud: “ Dan sekiranya penduduk negeri beriman dab bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf: 96).

Tanpa iman dan amal soleh menyebabkan kemunduran yang menjadi syarat untuk mendapat limpahan nikmat dan rezeki daripada Allah. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barang yang meningkat merupakan ujian yang harus dihadapi dengan tenang dan sabar.

Mata pencarian dan hasil kerja mestilah halal. Nabi s.a.w. pernah berpesan: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solah, puasa dan lain-lain).” (Riwayat Ath Thabrani dan Al Baihaqi).

Justeru, sebagai pekerja lakukan kerja  halal yang diamanahkan dengan penuh taat dan jujur bagi kesejahteraan seluruh umat. Dalam melaksanakan kerja, jangan hentikan usaha yang mulia sebelum hasilnya dapat dikecapi dan dinikmati.

Kepuasan dalam bekerja terletak pada usaha yang gigih. Berusaha dengan gigih dan keras merupakan kunci kejayaan dalam setiap pekerjaan. Oleh sebab itu, kerja yang dilakukan dengan penuh semangat tanpa mengenal putus asa, akan dapat mengatasi segala-galanya.

Dalam kehidupan, selagi kita bernyawa dan boleh bekerja, kita mesti bekerja dengan tujuan sebagai ibadah kepada keluarga, bangsa dan negara. Segala-galanya akan menjadi amalan kebaikan yang baik.

Nilai hidup seseorang akan diukur melalui kerja yang mulia yang dilakukan semasa hayatnya, bukan pada usia yang lanjut tanpa melakukan apa-apa kerja yang berfaedah untuk orang lain.

Imam As-Syafe’i pernah menyatakan, berpergian lah, nescaya anda akan mendapat ganti daripada orang yang anda tinggalkan, kemudian bekerja keras kerana kelazatan hidup terletak di sana.

Oleh sebab itu, bekerja keras demi menanggung anak dan isteri serta keluarga adalah amal kebajikan yang baik. Di sinilah letaknya bekerja sebagai ibadah. Ketelitian dan kerajinan dalam pekerjaan akan membuahkan keberuntungan pada masa depan.

Pada masa kini dalam melaksanakan apa-apa kerja ilmu dan kemahiran sangat penting. Gabungan kedua-dua perkara ini dapat memberikan kejayaan dan kemanfaatan kepada bidang kerja yang dilakukan. Bidang pekerjaan juga sangat luas dan memerlukan pelbagai ilmu dan kemahiran yang tinggi.

Apabila sesuatu kerja itu dapat dilakukan dengan menyeronokkan ia akan membawa kegembiraan dalam hidup. Bekerjalah dengan tabiat yang baik seperti tidak curi tulang, rajin dan dedikasi yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan juga pembangunan negara. Peribahasa Arab ada menyatakan: “Kalau kerja itu menyusahkan, menganggur pula adalah merosakkan.” Oleh itu, bagi mereka yang tidak bekerja elakkan daripada menganggur.

Bagi mereka yang belum bekerja, carilah kerja yang sesuai dan diminati supaya kerja tersebut menjadi senang dan menggembirakan sepanjang hidup. Dalam hal ini, kita tidak digalakkan selalu bertukar kerja kerana sukar untuk menentukan masa depan. Pekerjaan yang paling baik, adalah tetap walaupun sedikit upahnya.

Apabila dibukakan pintu rezeki dan mendapat pekerjaan maka hendaklah seseorang itu jangan suka berpindah-pindah kepada pekerjaan lain iaitu  mencari pintu rezeki lain bagi mendapatkan keberkatan.

Justeru, Nabi s.a.w. seterusnya berpesan: “Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barang siapa bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah ‘aza wajalla”. (Riwayat Ahmad).

Begitulah pentingnya pekerjaan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Lantaran itu, kerja yang baik akan menyumbang juga kepada pembangunan negara. Dalam hal ini, Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya sesuai dengan kegiatan dan kemahuan usahanya serta cita-citanya.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

Tuesday, 3 May 2011

Cita Lebur di Kuala Lumpur

Cita Lebur di Kuala Lumpur
Sajak: Ami Masra

Seorang gadis membawa cita dan cinta
Kembara ke Kuala Lumpur
Diari hidupnya bersemangat luhur.

Dengan jernih perigi peribadi
Dari desa mengalir ke dada kota
Wajah mula berubah pada paras rupa.

Dia terjerat cinta seorang pemuda
Yang dicintai ; memujuk bahagia
Tersadung kakinya ke lembah dosa.

Citanya lebur di tengah Kuala Lumpur
Anak dikandunginya tidak berbapa
Ditinggalkan di depan masjid tua.

Syaitan dan iblis berjaya menggoda
Gadis desa yang santun beragama
Akhirnya terjerumus di lembah hina.

Begitulah episod cebisan suatu cerita
Daripada sekian banyak beribu cerita
Tak tersiar dan tertulis oleh pemberita.

USJ 4,Subang Jaya

Monday, 2 May 2011

Penyair Kemala diumum Sasterawan Negara ke - 11

Penyair Kemala diumum Sasterawan Negara ke - 11

 

 

PUTRAJAYA 3 Mei — Penyair terkenal negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang turut dikenali sebagai “Kemala” diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 hari ini

 

Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini sebentar tadi Laporan Bernama memetik Muhyiddin berkata anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi

 

Tokoh yang dilahirkan di Gombak Selangor itu mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas mula menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia

 

Kemala telah menghasilkan 11 buku kumpulan puisi 25 antologi puisi 10 buku kajian sastera empat buku kumpulan cerpen lapan buah antologi cerpen empat buah drama tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera

 

Karya-karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina Urdu Perancis Jerman Belanda Slovania Sepanyol dan Serbo-Croatian Muhyiddin yang juga

 

Menteri Pelajaran memberitahu Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara wang tunai RM60 000 dan penerbitan 50 000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500 000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah perpustakaan jabatan dan agensi kerajaan 



Thursday, 28 April 2011

PERKATAAN “KOI” ASAL DARI JERAM KOI.



PERKATAAN “KOI” ASAL DARI JERAM KOI.
Oleh: DR AMINUDIN MANSOR

Mengkaji asal usul darihal bahasa kebanyakannya mempunyai kaitan dengan sesuatu tempat. Begitulah dengan nama “Pahang” yang asal usulnya daripada pokok Mahang yang besar iaitu pokok Mahang atau Kemahang yang dikatakan boleh memuatkan 40 hidang untuk tempat orang makan yang berjumlah kira-kira 160 orang di atas tapak pokok itu ditebang.

Begitulah juga dengan nama “Jerantut” yang berasal dari Jeram Tut. Di Pahang banyak sungai yang mempunyai jeram. Antaranya Jeram Ampai di Kuala Tembeling, tempat para penentang penjajahan British mempertahankan Pahang sekitar tahun  1894. Selain itu, ada juga Jeram Koi yang dikatakan asalnya perkataan “Koi” yang membawa maksud
saya.

Perhubungan melalui sungai memang dikenali di Pahang khususnya melalui Sungai Pahang yang mengalir dari puncak air meleleh di Hulu Tembeling menghilir Ke Kuala Pahang diPekan. Ini dapat dihayati melalui lagu rakyat “Menghilir Di Sungai Pahang” nyanyian Roslan Madun.

Mengikut Sejarah Politik Pahang 1880-1935 tulisan Aruna Gopinath terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) perkembangan politik utama di Pahang banyak peristiwa berlaku sejak pemerintahan salah seorang pemerintahnya yang terkenal iaitu Bendahara Wan Ahmad kemudian menjadi Sultan.

Mengikut catatan penulis British R. Braddel dalam JMBRAS,i, 1937, hlm 26. Sungai yang melalui kawasan tengah Pahang dan dianggap sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia adalah Sungai Pahang. Sungai utama tersebut bermula di pertemuan kuala Sungai  Jelai dan Tembeling, mengalir ke selatan hingga ke Temerloh sebelum bertukar arah ke timur dan melebar sebelum tiba di muara Kuala Pahang.

Menurut catatan W.B. Robert, F.A. Swettenham dan Hugh Clifford mengakui bahawa Sungai Pahang adalah sungai yang paling mudah dilayari di Semenanjung. Menurut Clifford di Sungai Pahang “pengangkutan ke hilir sungai terdiri daripada rakit-rakit yang diperbuat daripada buluh yang besar yang mengangkut para penumpang dan barangan ke destinasi mereka.”

Pada zaman itu, orang-orang Pahang menggunakan rakit atau lebih dikenali perahu kajang (perahu yang mempunyai atap daripada kajang) dari Hulu Tembeling menghilir ke Jerantut, Temerloh dan sampai ke Pekan. Perkembangan bahasa juga mengalir seperti air sungai tanpa henti.

Mengikut cerita, penutur di Hulu Tembeling, Kuala Lipis dan Jerantut menggunakan perkataan “Kaeh” bagi ganti nama diri saya. Apabila sampai ke Temerloh (yang asal daripada perkataan “Ter dan Merloh” yang membawa maksud tertidur sebentar kerana penat) perkataannya bertukar menjadi “Koi” dan di Pekan bertukar menjadi “Koai” atau “Kawan”. Sebutannya semakin lambat dan perlahan mengikut aliran air sungai yang  melalui jeram.

Mengikut Kamus Dewan (1996:691) Koi bermaksud perlahan-lahan atau berhati-hati (jangan tergesa-gesa) ketika melalui Jeram Koi, lama-lama perkataan Koi menjadi kebiasaan dalam sebutan Koi di Pahang yang membawa maksud (saya).

Hal ini pernah diceritakan oleh Tokoh Budayawan Pahang, Datuk Zakaria Hitam semasa hayatnya kepada penulis. Beliau yang pernah membuat penyelidikan di Hulu Tembeling dengan menaiki rakit dan perahu mengakui tempat-tempat tertentu mempunyai kaitan dengan aspek-aspek sejarah tradisional Pahang.

Menurutnya, para pelayar melalui sungai Pahang yang ada jeram terutama melalui Jeram Koi dengan bergalah dan berhati-hati bagi mengelakkan rakit atau (perahu kajang) terbalik atau pecah.

Sampai sekarang perkataan “Koi” masih digunakan di beberapa kawasan perkampungan dan juga di Temerloh yang membawa maksud (saya), terutamanya apabila bercakap sesama kawan rapat atau mereka yang berasal dari Temerloh. Di Kuala Lipis, Raub, dan Jerantut menggunakan perkataan “Kaeh”, di Pekan “Koai” atau “Kawan” yang amat sinonim dengan orang Pahang

Wednesday, 27 April 2011

SUNGAI JELAI 3


          : Setelah 40 tahun meninggalkannya
Sajak: Arisel Ba

tatkala aku mencambahkan kenang, Sungai Jelai
Bandar Kuala Lipis ditatap dari pelipisan mata
Sejarah berdarah perkelahian tanpa penyudah, ilu durja

Perkelahian tersohor pada abad kelapan belas, silam
Permusuhan demi maruah, darjat, daulat dan dendam
Orang Kaya Haji Wan Daud ditembak sepupu sendiri
Dan malapetaka deras datang mencengkam bumi
Kuala Lipis merangkumi seluruh Lembah Jelai
Hugh Clifford tampil penguasa konon wakil Sultan Pahang
Bermula era melombong emas dan timah, menoreh jelutung,
Menebang gaharu, menulis tabiat orang Melayu dan sakai
Hasil bumi dipunggah ke England atas nama penjajah, kejam

Era darurat tatkala Bintang Tiga mabuk kuasa
Selepas Jepun tewas dalam Perang Dunia Kedua,
Terkenal dengan kuasa tadbir empat belas hari, menjana
Politik lembu, lembu politik antara Melayu dan Cina
Di atas kuasa mahkamah rakyat di bawah pohon beringin
Di tebing Sungai Jelai warisan, orang Melayu orang Cina
Dituduh sebagai tali barut Jepun, lalu ditembak, disula
Dan tubuh mereka dihumban ke Sungai Jelai yang rawan
Alir air jernihmu berubah memerah darah hanyut ke muara
Sementara Bintang Tiga bertempik kuasa sorak gembira
Dendam kesumat berbalas sudah dan lenyap bersama zaman

Kini Sungai Jelai,  airmu masih keruh, lesu, buram dan sayu
Walau ada jambatan mercu pembangunan setempat dan maju
Menjana bandar Kuala Lipis yang masih belajar mengisi makna
Bandar penuh dengan cerita sejarah dan tinggalan tamadun bangsa

27 April 2011,
Kuantan, Pahang


Monday, 25 April 2011

Pengkritik berfikiran sempit

Pengkritik berfikiran sempit
Oleh Nazmi Yaakub
2011/04/26/Bh Online

 

Situasi sebab karya bermutu tidak dinobatkan sewajarnya 

KECICIRAN pengarang dan karya daripada dinobatkan anugerah atau hadiah selayaknya diterima berpunca daripada kegagalan penilai serta pengkritik melihatnya dengan tafsiran sempit, tanpa mengira semangat zaman apalagi latar pengarang sehingga berjaya melahirkan sesebuah karya.
 
 Pandangan berdasarkan teori hermeneutik dalam penafsiran di sebalik penulisan kreatif diluahkan pada Siri Diskusi Buku 2011 di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Felo Penyelidik Kanan APM, UM, Prof Datuk Dr Hashim Awang, berkata tafsiran karya sastera dan pengarang perlu dibuat secara terbuka dengan mengambil kira pelbagai perspektif untuk mendapatkan kefahaman menyeluruh. 

“Allahyarham Ishak Muhammad atau Pak Sako umpamanya, perlu ditafsirkan daripada pelbagai sudut pandangan dan bukannya terikat daripada sudut beliau sebagai penentang kerajaan. Pak Sako menulis sebelum perang, tetapi tidak pernah dianugerahkan Sasterawan Negara (SN),” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu APM, UM, Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali. 

Prof Hashim mendakwa, Pak Sako pengarang kelahiran Pahang yang terkenal dengan novel Putera Gunung Tahan dan berhaluan kiri dan karyanya itu sama seperti Juara garapan SN Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan) yang menyimpulkan ‘politik itu lembu’. 

“Kritikan saya terhadap Juara menggunakan pendekatan psiko-analisis mendapati karya itu baik dan bermutu tinggi. Bagaimanapun, pengarang Juara mengatakan politik itu lembu, sedangkan pihak yang memberi anugerah adalah orang politik,” katanya. 
Beliau berkata, kegagalan meletakkan tokoh atau karya pada tempat yang selayaknya itu, berpunca daripada mereka yang menilai atau mengkritiknya hanya berpegang kepada perspektifnya serta menolak sudut pandangan yang lain. 

Prof Hashim berkata, pembacaan karya melalui hermeneutik itu memerlukan pemahaman dua wajah, iaitu wajah dalaman dan luaran iaitu memahami masa lepas serta menyelami semangat zaman tanpa melihat karya semata-mata. 

“Teks juga boleh difahami dengan membuka diri kepada naskhah daripada pelbagai sudut. Banyak ruang perlu dibuka dan diteroka kerana jika tidak maka jadilah insiden Juara tidak diberi hadiah atau karya Pak Sako ditinggalkan begitu,” katanya. 

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Abdul Rahman Napiah yang menjana Teori Hermeneutik berkata, teori sastera bukan saja berkembang disebabkan kajian akademik dan kesarjanaan, bahkan kesan daripada perubahan dalam dunia sastera itu sendiri. 

“Lihat saja karya perjalanan, autobiografi dan biografi yang boleh didekati dengan teori baru seperti teori perjalanan atau teori biografi. Kalau dulu, pengarang menulis berdasarkan peristiwa sebenar, tetapi dengan adanya pensejarahan baru, ia tidak lagi berasaskan peristiwa sebenar,” katanya yang turut dikenali sebagai Mana Sikana. 

Baginya, dalam aspek berkenaan, sejarah sudah dicerekakan sehingga tidak ada lagi sejarah yang sebenar dan turut berlaku banyak kesalahan termasuk yang disengajakan pengarang dalam teks sejarah. 

“Dulu novel seperti War and Peace karya Leo Tolstoy memang berlandaskan sejarah, tetapi ia masih dianggap sebagai karya roman. Bagaimanapun dengan kemunculan teori baru itu, autobiografi sudah masuk ke dalam dunia fiksyen seperti yang berlaku di Barat,” katanya. 

Thursday, 21 April 2011

Dunia Persinggahan






Dunia Persinggahan.
Sajak: Dr. Ami Masra

Ketika kita tiba
pada tangisan pertama
terlihat dunia penuh  segala
kekecewaan dan kesedihan
derita seksa pada setiap insan.
maka kitapun menangis kehibaan.

Kata-kata; juallah duniamu
untuk mendapat akhiratmu
akan beruntung pada keduanya
jangan kau jual akhiratmu
disebabkan duniamu
kau akan rugi selamanya.

Ketika kita tiba
pada dunia persinggahan
ramai telah pergi
pantasnya waktu berlalu
meninggalkan kita
dalam perjalanan jauh
ke sempadan ukhrawi.

Fahamlah hati dan diri
hikmah mutiara kata
gandakan segala pahala
terhampar di kebun ibadah
nasihat sahabat
menghidangkan berkat.

Dunia persinggahan
tempat mengumpul bekalan
untuk jauhnya perjalanan.


USJ 4, Subang Jaya, Selangor.

Tuesday, 19 April 2011

Malam Anugerah Seniman Sepanjang Zaman

Pentas Malam dan Promosi MOMOK..Jangan Panggil Aku
Seniman Berkampung
dI Malam Anugerah Seniman Sepanjang Zaman
16hb April · 10.00 pagi - 11.30 ptg
GELANGGANG SENI WARISAN, Jalan Teluk Sisek, Kuantan
Menghala Ke Pantai Teluk Chempedak, Kuantan

Nampak ada SU I DPMP, Sdra Mohd, Hashim Ismail hadir di majlis ini


Malangnya tiada Penyair DPMP baca sajak pada malam berkenaan

Khabarnya orang yang dijemput seperti senarai:
  1. YBhg. Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad.
    2. YBhg, Datuk Ruhanie Ahmad
    3. Seniman Hj. Ismas Saring 
    4. Seniman Dr. Ibrahim Ghafar
    5. Seniwati Datuk Sarimah
    6. Seniwati Mariani Ismail
    7. Komposer Ikhtiman Ismail
    8. Artis Rakaman Oja Axis
    9. Artis Rakaman Nas Atea
    10. Artis Rakaman Rozita Rohaizad
    11. Sastrawan Yaakub Isa
    12. Pemuzik Yaakob Abdullah
    13. Seniman M.Jamil, para Pelakun dan Crew MOMOK..Jangan Panggil Aku
    14. Pemimpin Setempat
    15. Rakan seangkatan di Facebook
    16. Seniman Yassin Salleh
    17. Seniman Noramin Mosyi Mosyi
    18. Seniman Siso Kopratasa
    19. Pelukis Warisan Pahang, Osman Limat
    20. Wartawan-wartawan hiburan
    21. Kelab Media Pahang
    22. Penyair Dr. Ahmad Razali, Koordinator PENA
    23. Penyair Khalid Salleh, Aktor Terbaik Pesta Filem Asia Pacific
    24. Penyair Zainal Abas @ Kasjiza AS

  2. (Tiada pun jemputan untuk DPMP? )
  3. senarai aktiviti sampingan:

    - Aktiviti membakar ubi kayu dan jagung untuk hidangan promosi
    - Aktiviti dari Rajawali Art Group International,.
    - Aktiviti permainan rakyat - congkak dan selambut.
    - Aktiviti Edu Kraf - Batik Canting
    - Pameran Produk Kraf Pahang
    - Aktiviti persembahan kebudayaan
    - Aktiviti bacaan dan nyanyian puisi
    - Aktiviti bicara filem 
    - Aktiviti penyampaian Anugerah Gelanggang



Monday, 18 April 2011

ORANG PENSIUNAN

ORANG PENSIUNAN
: Menanti Tarikh Pensiun 11 Ogos 2011
Sajak: Arisel Ba

Empat kitaran bulan, isteri dan tujuh anak, empat menantu dan empat cucu, ingin aku khabarkan: sempurna sudah khidmat aku kepada Melayu, Islam dan Malaysia, izinkan aku mulai membelai aksara, menyempurnakan doa kulawarga Rao di setiap belai lembut dan titik air mata di sela tangis dan tawa sejak aku menjadi penjawat awam sehingga tidak mampu aku menulis autobiografi kerjaya aku dengan kata demi kata tercipta dari buana cahaya. Tatkala aku masih bertatih mengeja huruf-hurufMu, ya Allah, sebab mata aku masih rabun bertabir kabus dalam cuaca sentiasa berubah. Dan izinkan aku mencerminkan diri pada danau matamu yang kemilau sejuk dan dalam, dan menimba bijaksana semesta yang dititipkan pada teras kehidupanku. Dalam tempoh 38 tahun aku berkerjaya, aku bagaikan anak kecil lagi kerdil yang bersembunyi di sebalik topeng usia. dan kepadaMu, ya Allah,  aku masih setia belajar memahami cinta, lebih dari sejuta makna yang terungkap oleh aksara.

18 April 2011,
Kuantan, Pahang