Penyempurnaan agama melalui ibadah kerja.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR.
Tersiar di Harian Metro 5/5/2011
Tarikh 1 Mei adalah tarikh Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia. Pada tarikh ini semua majikan seharusnya memahami dan merasakan bahawa tanpa pekerja yang rajin jujur dan amanah semua matlamat sukar untuk dicapai. Begitulah pentingnya pekerja di sisi majikan.
Pekerja yang dedikasi, jujur dan amanah sukar untuk dicari pada masa kini. Kebanyakan mereka yang bekerja hanya untuk mendapat gaji dan imbuhan. Bekerja sebagai ibadah seharusnya menjadi matlamat dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Walau bagaimanapun, masih ada mereka yang bekerja dengan jujur, amanah, dedikasi dan menjadikan kerja sebagai ibadah dalam kehidupan. Mereka ini bekerja demi untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah, sama ada di sekolah rendah, menengah dan universiti.
Mereka mengharapkan kerja yang halal dan dari hasilnya akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga dan anak-anak pada masa akan datang. Konsep bekerja sebagai ibadah mestilah diterapkan dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan.
Melalui bekerja sebagai ibadah bertujuan untuk menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan fungsi segala anggota dan pancaindera manusia dengan bekerja sebagai amanah dan mengabdikan diri kepada Allah.
Justeru, ibadah perlu difahami dalam konsep yang lebih luas meliputi ibadah khusus (fardu ain) seperti solat, zakat, puasa dan haji di samping tuntutan ibadah umum (fardu kifayah) seperti kebajikan, melakukan pekerjaan, amalan sunat dan sebagainya.
Apa pun pekerjaan yang dilakukan mestilah halal agar dapat memberikan kebaikan dan pahala serta mendapat keberkatan di sisi-Nya. Pekerjaan yang tidak halal bukan sahaja menyumbang kepada dosa malah tidak akan mendatangkan keberkatan kepada diri, dan keluarga.
Keberkatan yang dimaksudkan di sini adalah wang yang diperoleh daripada hasil kerja walaupun sedikit tetapi mencukupi untuk menanggung dan menyara keluarga. Bagaimana pun wang yang diperoleh daripada kerja yang tidak halal tidak akan pernah cukup walaupun banyak.
Di sinilah konsep kerja sebagai ibadah juga menyumbangkan kepada keberkatan. Mereka yang bekerja dengan jujur, ikhlas, dedikasi serta amanah akan memperoleh pendapatan yang berkat.
Mencari rezeki yang halal daripada pekerjaan sangat digalakkan dalam Islam yang mendatangkan keberkatan. Allah berfirman yang bermaksud: “ Dan sekiranya penduduk negeri beriman dab bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf: 96).
Tanpa iman dan amal soleh menyebabkan kemunduran yang menjadi syarat untuk mendapat limpahan nikmat dan rezeki daripada Allah. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barang yang meningkat merupakan ujian yang harus dihadapi dengan tenang dan sabar.
Mata pencarian dan hasil kerja mestilah halal. Nabi s.a.w. pernah berpesan: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solah, puasa dan lain-lain).” (Riwayat Ath Thabrani dan Al Baihaqi).
Justeru, sebagai pekerja lakukan kerja halal yang diamanahkan dengan penuh taat dan jujur bagi kesejahteraan seluruh umat. Dalam melaksanakan kerja, jangan hentikan usaha yang mulia sebelum hasilnya dapat dikecapi dan dinikmati.
Kepuasan dalam bekerja terletak pada usaha yang gigih. Berusaha dengan gigih dan keras merupakan kunci kejayaan dalam setiap pekerjaan. Oleh sebab itu, kerja yang dilakukan dengan penuh semangat tanpa mengenal putus asa, akan dapat mengatasi segala-galanya.
Dalam kehidupan, selagi kita bernyawa dan boleh bekerja, kita mesti bekerja dengan tujuan sebagai ibadah kepada keluarga, bangsa dan negara. Segala-galanya akan menjadi amalan kebaikan yang baik.
Nilai hidup seseorang akan diukur melalui kerja yang mulia yang dilakukan semasa hayatnya, bukan pada usia yang lanjut tanpa melakukan apa-apa kerja yang berfaedah untuk orang lain.
Imam As-Syafe’i pernah menyatakan, berpergian lah, nescaya anda akan mendapat ganti daripada orang yang anda tinggalkan, kemudian bekerja keras kerana kelazatan hidup terletak di sana.
Oleh sebab itu, bekerja keras demi menanggung anak dan isteri serta keluarga adalah amal kebajikan yang baik. Di sinilah letaknya bekerja sebagai ibadah. Ketelitian dan kerajinan dalam pekerjaan akan membuahkan keberuntungan pada masa depan.
Pada masa kini dalam melaksanakan apa-apa kerja ilmu dan kemahiran sangat penting. Gabungan kedua-dua perkara ini dapat memberikan kejayaan dan kemanfaatan kepada bidang kerja yang dilakukan. Bidang pekerjaan juga sangat luas dan memerlukan pelbagai ilmu dan kemahiran yang tinggi.
Apabila sesuatu kerja itu dapat dilakukan dengan menyeronokkan ia akan membawa kegembiraan dalam hidup. Bekerjalah dengan tabiat yang baik seperti tidak curi tulang, rajin dan dedikasi yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan juga pembangunan negara. Peribahasa Arab ada menyatakan: “Kalau kerja itu menyusahkan, menganggur pula adalah merosakkan.” Oleh itu, bagi mereka yang tidak bekerja elakkan daripada menganggur.
Bagi mereka yang belum bekerja, carilah kerja yang sesuai dan diminati supaya kerja tersebut menjadi senang dan menggembirakan sepanjang hidup. Dalam hal ini, kita tidak digalakkan selalu bertukar kerja kerana sukar untuk menentukan masa depan. Pekerjaan yang paling baik, adalah tetap walaupun sedikit upahnya.
Apabila dibukakan pintu rezeki dan mendapat pekerjaan maka hendaklah seseorang itu jangan suka berpindah-pindah kepada pekerjaan lain iaitu mencari pintu rezeki lain bagi mendapatkan keberkatan.
Justeru, Nabi s.a.w. seterusnya berpesan: “Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barang siapa bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah ‘aza wajalla”. (Riwayat Ahmad).
Begitulah pentingnya pekerjaan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Lantaran itu, kerja yang baik akan menyumbang juga kepada pembangunan negara. Dalam hal ini, Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya sesuai dengan kegiatan dan kemahuan usahanya serta cita-citanya.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.
No comments:
Post a Comment