TANAH SELBORNE
Sajak: Arisel Ba
Selamat malam Tanah Selborne
Nostalgia antara desah Sungai Jelai dan
Teriak peluit kereta api di Stesen Padang Tungku
Aku masih terngiang-ngiang menangkap
Suara tangis pertama mengudarakan harap cemas
Lahir aku disambut tembakan jauh di hutan
Zaman darurat dan perintah berkurung
Ketika darah ibu tumpah
Di Tanah Selborne, penjajah masih pemerintah
Dan aku bayi mencari warna diri
Apakah nanti tumbuh bagaikan anak ladang?
Atau perintis mengisi kemerdekaan
Selamat malam Tanah Selborne
Aku hanya berlabuh sekejap di ladang
Kerana aku diasuh nenek di Bukit Pindong
Meneguk air jernih Sungai Jelai
Bernafas dalam nuansa bukit dan hutan
Diajar hidup bagai kera sumbang
Kerana ibu merantau membawa lara
Dan ayah mencari bahagia yang lain
Sesekali aku menjadi resah payah
Dalam derita hidup seorang anak desa
Menenun jalinan duka lara dan perjuangan diri
Kadangkala aku kembali ke Tanah Selborne
Mencari lorong dan rumah aku dilahirkan
Malangnya, tidak diketemukan
Kerana aku tersesat di perkampungan ladang ini
Panoramanya telah lekap pembangunan
Dan air Sungai Jelai tidak pernah jernih lagi
2 Julai 2011,
Kuala Lipis, Pahang
No comments:
Post a Comment