TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Saturday, 16 April 2011

MEMAHAMI PENGERTIAN BAHASA BAKU


MEMAHAMI PENGERTIAN BAHASA BAKU
Oleh: Zubaidi Abas

SESETENGAH orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugah perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.
         Sebenarnya, kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, dan “banyak negara-negara...”, walaupun diujarkan dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pengulangan kata yang sudah mengandungi makna jamak dan pengulangan kata yang sudah ditentukan oleh kata bilangan. Begitu juga “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” dan “dia memperkatakan tentang hal itu...” bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan tatabahasanya. Oleh sebab itu, “para peniaga...”, “mereka...”, “banyak negara...”, “saya akan membincangkan perkara itu...”, dan “dia memperkatakan hal itu...” merupakan bentuk yang baku.
          Bahasa baku ialah bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara. Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.
          Dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini, kita dapat melihat bahawa bahasa yang digunakan jarang-jarang sekali berbentuk bahasa Melayu baku. Biasanya, bahasa yang digunakan dalam pertuturan masyarakat bukan bahasa baku, iaitu bahasa basahan atau bahasa pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa campuran atau bahasa rojak. Hal ini sudah tentu tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat terlepas daripada konteks sosial. Pelbagai faktor, seperti hubungan antara penutur, tempat, tujuan, situasi, status, pendidikan, usia, dan jantina amat mempengaruhi penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, kita pasti sering mendengar ungkapan seperti apa mau, kasi tahu, banyak mahal, itu macam, dan boleh bikin. Malah, kita sendiri mungkin kerap menggunakannya dalam perbualan sehari-hari dengan teman-teman.
          Sebagai salah satu ragam bahasa Melayu, bahasa basahan ini bukan bahasa yang dilarang penggunaannya. Kita akan menggunakan bahasa dalam ragam tertentu sesuai dengan situasi atau tempat berlangsungnya komunikasi, misalnya dalam situasi kekeluargaan yang tidak menuntut penggunaan bahasa baku. Dalam tawar-menawar di pasar pula, penggunaan bahasa baku mungkin akan menimbulkan kelucuan, kejanggalan, kehairanan, atau kecurigaan. Dalam hubungan ini, jelas bahawa kita tidak dituntut supaya berbahasa baku secara terus-menerus sepanjang waktu kerana bahasa yang dapat mengenai sasarannya tidak sentiasa perlu beragam baku. Kita harus memperhatikan golongan penutur dan situasi penggunaannya. Orang yang mahir menggunakan bahasanya sehingga maksud yang ingin disampaikannya dapat difahami dengan jelas atau dapat mencapai sasarannya dianggap telah dapat berbahasa dengan baik dan berkesan. Meskipun demikian, kita tidaklah wajar menggunakan bahasa basahan ini secara berleluasa, sebaliknya menggunakannya dalam batasan tertentu sahaja, khususnya dalam situasi tidak rasmi.
          Bahasa baku dan bahasa basahan ini mempunyai fungsi masing-masing dalam komunikasi. Bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa basahan dalam perbincangan, mesyuarat, atau seminar, misalnya, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat, atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan menimbulkan gangguan terhadap komunikasi.  
          Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan bahasa dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa basahan atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, ceramah, atau dalam pertuturan yang dituntut supaya berbahasa baku. Kebiasaan menggunakan bahasa basahan telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri masyarakat terhadap bahasa baku.

NOVELIS “DESA PINGITAN” IBRAHIM OMAR MENINGGALKAN LEBIH 50 BUAH NOVEL DAN RATUSAN CERPEN

NOVELIS “DESA PINGITAN” IBRAHIM OMAR MENINGGALKAN LEBIH 50 BUAH NOVEL DAN RATUSAN CERPEN.
: Oleh Dr. Aminuddin Mansor

Memetik pandangan Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, hasil
penulisan golongan  yang terdidik sebagai sasterawan dan wartawan
sangat tajam pemikirannya, selain dapat membawa mesej perjuangan lewat
karya-karya mereka.

Begitulah juga sasterawan, wartawan dan novelis “Desa Pingitan”
Allahyarham Haji Ibrahim Omar juga terdidik dalam golongan ini. Beliau
telah meninggal dunia jam 10.50  pada pagi Jumaat 29hb Oktober 2020 di
rumahnya di Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang di sini meninggalkan
mesej perjuangan dalam karya-karyanya.

Allahyarham yang berusia 74 tahun dikatakan mengalami sakit tua telah
dikebumikan di Kampung Mela di Kuala Lipis tempat kelahirannya di sini
selepas solat Jumaat. Beliau meninggalkan seorang balu dan seorang
anak lelaki dan tiga anak perempuan dan lima belas orang cucu. Anak
pertama Suri Despila mengambil nama sempena (Desa Pingitan Mela),
(Allahyarham Mohd. Mohayuddin, OKU meninggal dunia), 48, Puspa
Ilhamku, 44, Amir Marhin, 43,  dan Adibah Masni, 32.


Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Julai 1936 di kampung Mela, Kuala
Lipis,Pahang. Menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Mela,
Kuala Lipis hingga lulus Darjah Lima (1946). Pada tahun 1947 hingga
1951 belajar di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis hingga
Tingkatan Tiga dan selepas itu belajar pula di Sekolah Arab Kuliah
Lughah Waddin, Pekan (1953-1955). Pada tahun (1956-1957) menyambung
pelajaran Inggeris di Sekolah Methodist Bentong dan lulus Tingkatan 1V
pada tahun tersebut.

Beliau pernah bertugas sebagai guru subjek Bahasa Inggeris, Melayu dan
Arab . Pada tahun 1960 beliau ditawarkan menjadi guru di Mela. Kuala
Lipis
. Pada tahun 1966 beliau pernah bertugas sebagai  guru besar di
Sekolah Arab Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak. Beliau  juga
pernah bekerja sebagai kerani, peniaga, dan pengarang Berita UMNO
Bahagian Kuala Lipis dan kemudiannya menjadi wartawan di Utusan
Melayu. Melalui pengalamannya yang rencam tidak hairanlah
novel-novelnya mendasar kepada kehidupan nyata dan pengalaman yang
dilaluinya.

Beliau yang terkenal dengan novelnya Desa Pingitan  yang diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 1964. Novel tersebut
mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu di kampung dan di bandar
sekitar tahun 1960-an. Dalam usia 26 tahun beliau telah berjaya
menghasilkan beberapa buah novel. Sekitar tahun tersebut Kuala Lipis
hanya boleh dihubungi melalui jalan kereta api dan Sungai Pahang yang
amat kurang kemudahan terutama perhubungan penduduknya dengan bandar
lain di Pahang. Selain itu, kekuatan beliau dalam berkarya adalah asas
pendidikannya yang mahir dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Novel “Desa Pingitan” pernah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan
Mengarang Novel anjuran Dewan bahasa dan Pustaka pada tahun 1962
kerana tiada pemenang tempat pertama. Novel tersebut telah dipilih
menjadi buku teks wajib di sekolah menengah bagi peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia
 (SPM) pada tahun 1966-1968. Novel Desa Pingitan
telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Penulis mengenali novelnya
Desa Pingitan terlebih dahulu sebelum mengenali beliau disebabkan
novel Desa Pingitan  sebagai teks sastera yang mesti dan wajib dibaca
semasa mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun
1968 yang akhirnya mencambahkan minat mendalam penulis terhadap
sastera.

Falsafah dan pemikiran yang terdapat dalam novel Desa Pingitan sarat
dengan kecintaan terhadap kampung halaman terutamanya desa yang masih
kekal dengan keindahan alam serta budaya tolong-menolong dalam
kalangan masyarakat Melayu. Buku biografi Wajah terbitan Dewan Bahasa
dan Pustaka
 (DBP) keluaran tahun 1988 menjelaskan bahawa novel Desa
Pingitan mengemukakan kisah masyarakat Melayu di kampung dan bandar
dengan perbezaan hidup serta sikap terhadap pembangunan. Beliau juga
mengemukakan sikap penduduk kampung terhadap pembangunan dengan
watak-watak berbilang kaum bagi menyatakan unsur-unsur integrasi kaum
semangat perpaduan yang cuba di wujudkan di negara ini. Begitu juga
dengan novel keduanya Embun dan Tanah yang masih mempersoalkan hal-hal
yang berhubungan dengan kehidupan masyarakat desa dan bandar,
antaranya tentang ancaman komunis, pembangunan sosial dan ekonomi
masyarakat desa pada awal tahun 60-an dan 70-an.

Selain novel Desa Pingitan, Allahyarham menghasilkan  novel Embun dan
Tanah (terbitan Pustaka Melayu Baru 1965), Hilang ( Pustaka Nasional
Singapura 1966), Hujan Panas ( Pustaka Timur Kuala Terengganu 1966),
Patah Galah Haruan Perahu( Utusan Melayu (M) Berhad 1973), Tiba
Masanya ( Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd  (UP&D) (1977),
Cucu (1978) memenangi hadiah ketiga dalam Peraduan Menulis Novel hari
Guru, Rembang Merah (1979) menjadi teks bacaan penting peringkat
sekolah menengah rendah, Tok Bilal (1985) memenangi hadiah sagu hati
dalam Peraduan Menulis Novel Islam anjuran yayasan Islam Terengganu
dan novel Bencana (1988). Beliau juga menghasilkan beberapa buah
cerita rakyat dan novel kanak-kanak/remaja seperti Bintang-Bintang
Harapan (1984), Baju Biru Nombor 10 (bersiri) (1985), Istana Seri
Kelopak (1985), Perang Kerambit (bersiri) (1986) dan Tuk Selampit
(1986), Tuk Segenting (1986). Pada tahun 70-an hingga 80-an adalah
kemuncak pengkaryaan beliau dalam penulisan novel dan cerpen.

Beliau meninggalkan banyak buah tangan khususnya novel hampir 50 buah,
beberapa buah cerpen, skrip drama radio dan juga sajak. Cerpen-cerpen
beliau pernah tersiar dalam majalah Dewan sastera, Dewan Masyarakat,
Mestika dan akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu, dan Utusan Zaman.
Sebahagian besarnya cerpennya terkumpul dalam kumpulan Imbuhan Ombak
(1966), antologi Gelisah , Menunggu, Menunggu Ratu Adil antologi
cerpen bersama penulis lain . Puisinya tersiar di Utusan Zaman,
Mingguan Malaysia dan dewan sastera.  Kebanyakan latar dan watak
ceritanya mendasari kisah desa dan kehidupan masyarakat kampung sesuai
dengan aliran “seni untuk masyarakat”. Kekuatan beliau melalui
pengalaman memahami dan menceritakan kembali kisah masyarakat desa
inilah yang menjadikan kekuatan kepada latar masyarakat dalam setiap
novel dan cerpen beliau.

Allahyarham juga menulis cerpen dan sajak, rencana dan ulasan karya
kreatif. Selain itu beliau juga menulis drama Keris Taming Sari yang
pernah dipentaskan beberapa kali oleh persatuan belia di kampungnya.
Beliau sempat menghasilkan dua buah novel dalam Bahasa Inggeris iaitu
The Village dan We Are Malaysians.

Penulis mengenali beliau secara dekat pada sekitar tahun 1987 hingga
1990. pada pengamatan penulis beliau seorang yang ikhlas, pejuang
sastera yang gigih dan tidak lokek dengan idea. Beliau sangat gembira
dengan perkembangan sekarang apabila karya sastera dimasukkan dalam
teks Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu di sekolah menengah.
Ketika itu saya panggil beliau Pak Ibrahim, ( kebanyakan kenalannya
memanggil Cikgu Ibrahim) semasa itu beliau bertugas sebagai Penyunting
Kanan Utusan Zaman/Malaysia di Utusan Melayu (1975-1990). Kami sering
bertemu pada setiap petang selepas solat Jumaat di Masjid Negara.
Biasanya petang Jumaat penulis habis kuliah di Universiti Pertanian
Malaysia
 (UPM) kini Universiti Putra Malaysia (UPM). Tempat dan
lokasinya di sebuah restoran mamak di tingkat atas Pasar Seni. Penulis
telah diberi kesempatan menulis rencana tentang kritikan sastera di
Utusan Zaman. Perbincangan kami sering bertumpu tentang perkembangan
sastera dan penulisan di tanah air. Sesekali berbincang tentang
perkembangan badan penulis seperti Dewan Persuratan Melayu Pahang
(DPMP) dan juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Justeru, akhirnya DPMP berjaya melahirkan penulis-penulis seperti
novelis Baharudin C.D, wartawan Mat Piah Teh  Deris, penulis
Hasanuddin Md.Isa, Baharudin Haji Zakaria, A.Mutalib Ghani, (penulis
Syair Siti Zubaidah Perang Cina ), Ahmad Teh, Nazeri Nong Samah kini
penyunting di Utusan Malaysia, Allayarhamah Zahrama dan Maimunah Manan
 mereka ini berasal dari Kuala Lipis, Raub dan Jerantut. Sebelum itu,
penulis Allahyarham Ahmad Kotot juga aktif dalam DPMP Jerantut yang
menulis lebih awal daripada Pak Ibrahim Omar.

Setelah bersara sebagai wartawan dan Penyunting Utusan Melayu
Allahyarham menetap di kampungnya di Mela, Kuala Lipis dengan sepenuh
masa menulis, berkebun dan sebagai petani dan sesekali datang ke rumah
anaknya di Selayang, Kuala Lumpur. Beliau juga menulis dalam kolumnya
di akhbar Taiwan Press dan Utusan Zaman.

Allahyarham juga adalah ahli seumur hidup Dewan Persuratan Melayu
Pahang (DPMP) dan pernah menerima Anugerah Karyawan Sastera (DPMP)
atas saranan dan cadangan sasterawan Sahmad Malaya dan Saudara Rahman
Haji Yusuf pada 3 April 2004 di Kuantan, Pahang  atas jasa dan
penglibatannya yang aktif dalam bidang penulisan sastera khususnya
novel. Semasa bertemu di majlis tersebut di mana  penulis juga salah
seorang penerimanya melihat Pak Ibrahim masih sihat dan rancak
bercerita tentang novel yang sedang ditulisnya, perkembangan sastera
dan perjuangan penulis.

Bagaimanapun, menurut anak lelakinya Amir Marhin yang juga seorang
pendidik dan penulis di Sekolah Kebangsaan Bukit Bota, Chenor,
Allahyarham tidak lagi boleh menaip karya-karya novelnya. Anak
lelakinya terpaksa membantu beliau menyiapkan beberapa buah novel
kanak-kanak antaranya 17 buah karya novel remaja, Sumpah Pahlawan, dan
Orang Asia. Menurutnya, hasrat Allahyarham untuk menyambung penulisan
novel Desa Pingitan 11 tidak kesampaian.

Sebagai mengenang jasanya kepada negara Allahyarham pernah dikurniakan
Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (1972), Pingat Pangkuan Negara (PPN)
(1974) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) (1989).

Selain berkarya Allahyarham adalah seorang yang aktif dalam
kerja-kerja kebajikan di kampungnya selepas bersara dan sering memberi
ceramah sastera bagi membimbing pelajar sekolah di Pahang, Wilayah
Persekutuan dan Selangor. Menurut penulis dan wartawan Haris Fadilah
Ahmad dari Jerantut, Pahang berkata, kali terakhir Pak Ibrahim
menghadiri majlis akademik adalah anjuran Institut Perguruan Tengku
Ampuan Afzan, Kuala Lipis kira-kira empat bulan lalu.

Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah, hilanglah sebutir bintang di
langit sastera/wartawan/ pendidik  di Pahang dan juga negara Malaysia
yang menerangi hati dan akal budi bangsanya dengan falsafah kemurnian
hidup di desa yang kaya dengan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan
yang mesti dikekalkan. Semoga rohnya dimasukkan dalam kalangan
orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Monday, 11 April 2011

EMBUN DI MERCU DAUN


EMBUN DI MERCU DAUN
Haiku: Arisel Ba

Ufuk hidayat
Embun di mercu daun
Saga mentari

6 April 2011,
Kuantan, Pahang


Sunday, 10 April 2011

Membaca atau menikmati karya sastera?




Membaca atau menikmati karya sastera?
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor

Secara umumnya, membaca biasa dan membaca dengan menikmati hasil karya adalah berbeza. Membaca secara biasa ialah memerhati isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Sementara menikmati hasil karya ialah membaca secara memahamkan makna dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca.

Lantaran itu, pembaca biasa hanya membaca karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi secara sambil lalu dan sedikit tercuit perasaan seperti sedih, gembira dan sebagainya. Manakala membaca dengan menikmati hasil karya membaca berkali-kali dengan sepenuh jiwa, mempelajari dan meneladani apa yang tersurat dan tersirat dalam karya. Golongan kedua ini adalah pencinta sastera tulen.

Pandangan mengatakan membaca adalah seni, seperti halnya seni berfikir dan seni menulis. Serong pembaca dan juga penikmat karya akan dapat merasakan seni sastera yang terpancar dalam sesebuah hasil karya. Membaca dengan berfikir menjadikan seseorang penikmat sastera yang tulen. Seperti kata Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang berisi, berunding menjadikan dia siap, menulis menjadikan dia saksama.

Bahan karya sastera yang terpancar mencerminkan jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Karya sastera juga menjadi salah satu sumber rujukan penting bagi menyelami perasaan rakyat dalam sesebuah negara merdeka. Menghayati karya sastera adalah mendalami hati budi rakyat yang terpancar dalam karya tersebut.

Soalnya, adakah kita membaca karya sastera atau membaca dengan menikmati karya sastera? Ramai dalam kalangan pelajar yang belajar di Tingkatan 1 hingga 5 hanya membaca karya sastera secara biasa dan sedikit yang membaca secara menikmati dengan mata hati dan akal budi karya sastera dalam Komponen Sastera (KOMSAS) yang diwajibkan kepada para pelajar.

Justeru, KOMSAS dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati hasil karya dengan sepenuhnya. Ia menjadi penyalur ilmu, penyebar fikiran dan gelojak perasaan sesuatu bangsa.

Bahan KOMSAS telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu. ia mencakupi pendedahan dan apresiasi karya-karya sastera daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, drama, cerpen dan novel.

Melalui pendedahan ini pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera hasil tulisan penulis-penulis di negara ini. Selain itu, karya tersebut juga dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya, cita rasa, keindahan seni, kehidupan sosial masyarakat di negara ini. Usaha ini adalah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Penerapan elemen penting dalam karya akan menjadikan pelajar insan yang berfikir tentang kehidupan dan kebaikan. Seterusnya, karya sastera juga dapat membantu membentuk kehalusan budi pekerti, kecekapan berbahasa,  ketabahan hati, keindahan seni, menegakkan kebenaran, menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan.

Karya sastera bukan hanya bahasa dan kata-kata, malah ia lebih daripada itu. Ia merangkumi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Apabila membaca seseorang akan menikmati bahasa dan kata-kata yang disampaikan dengan berkesan dengan penuh keindahan seni.

Memetik kata-kata Aristotle, dari satu segi, seni menyempurnakan apa yang tidak boleh dijelaskan oleh alam semesta, di segi yang lain ia meniru alam semesta. Jelaslah seni itu soal penggambaran dan peniruan. Dalam karya sastera terdapat seni meniru atau menggambarkan kehidupan manusia, terutamanya perbuatan manusia.

Oleh itu, peranan dan tugas guru bahasa Melayu sangat penting dalam pembacaan hasil karya yang bermanfaat. Melalui pembacaan ke arah menikmati hasil karya  yang penuh seni akan dapat mewujudkan pelajar yang meminati karya sastera, memahami nilai keindahan dalam sastera dan mendalami tujuan penulis menghasilkan sesebuah karya sastera.

Menanamkan minat dalam jiwa pelajar sebagai pencinta sastera tulen juga menjadi tugas guru khususnya guru bahasa Melayu. lapangan sastera Melayu amat luas yang harus diteroka oleh generasi muda. Teks sastera cukup banyak dipasarkan untuk dinikmati.

Seperti kata Matthew Arnold “Sastera adalah cermin kehidupan”. Oleh itu, melalui pembacaan yang teliti, penuh rasa di jiwa penikmat karya sastera dapat mencedok ciri-ciri kehidupan yang baik digambarkan dalam watak dan perwatakan, latar masyarakat yang digambarkan.

Justeru, pengarang berusaha merakamkan seluruh hasil kerjanya bagi dihargai untuk tatapan dan bacaan masyarakat umum. Dalam karya sastera akan terdapat kesan dan warna yang pelbagai untuk dinikmati oleh generasi muda. Daripadanya terpancar pengalaman, pemikiran dan sikap pengarang.

Melalui pembacaan yang teliti akan dapat melihat sikap dan pemikiran pengarang, memahami seni, memasuki akal budi, mengikut jalur rasa dan perasaan serta rasa keindahan yang terdapat dalam sesebuah hasil karya sastera. Di hutan keindahan sastera dan belantara bahasa menghidangkan pelbagai takrif dan istilah menjurus ke arah cara berfikir.

Hasil karya sastera seperti cerpen, novel, puisi dan drama bukanlah sebagai alat penghibur di waktu lapang. Malah ia lebih daripada itu, pembacaan karya sastera sewajarnya sebagai bahan pengayaan batin, dapat menajam fikiran, pembentuk akal budi dan meluaskan pengalaman hidup kepada pembaca. Melalui pembacaan dengan menikmati karya sastera akan membuka satu pengalaman baru meluaskan rasa seni yang mendalam tentang kehidupan.

------------------------------------------------selesai----------------------------------------------------

Monday, 4 April 2011

TAMBUN ANAK GEDIU


TAMBUN ANAK GEDIU
      : Adegan sadis 12 Februari 2011
Sajen: Arisel Ba


Suatu pagi riuh kicau burung, suara tupai di Sungai Tiang, bersela-sela dengan bunyi AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!,  terterpa ke atap nipah, dinding pelupuh, tiang nibung pondok Tambun, seperti biasa Tambun meliar mata memerhati teliti ronggeng tupai di ranting sena pinggir alur dan siap siaga dengan buluh sumpitan di tangan kanan, damak ipuh yang siap terisi dan terus membidik, kecil besar, kecil besar,  kecil besar, kecil besar, kecil besar, kecil besar biji matanya.

Tatkala Tambun mahu menghembus nafas mantap lagi deras dari arah perut bagi menggerakkan damak ipuh dalam buluh sumpitannya, sedang matanya membidik tepat ke tubuh tupai sedang berjoget, tiba-tiba Pak Belang Hutan Simpan Belum tanpa mengaum, terus menerkam dan menampar pipi Tambun, kiri dan kanan, kali berkali sehingga Tambun tersembam rebah ke tanah lalu digomol tubuh Tambun dan dikerkah dengan gigi taring tajam harimau tanpa sempat membuka langkah silat, sekadar menjerit, melolong kesakitan menyeru nama bininya, Han Besou,,,Hannnnn... Hannnnnn.. .Hannnn.......rimau besar,,,,,,,rimau besar menggumpalkan aku, tolonggg!

Han Besou pelatah orangnya segera menggapai senduk nibung atas para terus melonjak melompat ke halaman terbolen kainnya tersangkut di kepala tangga pondoknya, lalu bagaikan singa betina menerkam Sang Harimau lalu di kudanya Pak Belang sambil tangannya mengetuk senduk nibung kali berkali, berpuluh kali dengan pekik dan jerit... , “lepaskan laki aku... lepaskan laki aku, “ Pak Belang terasa perit, geli geleman lalu menggelupur sehingga Han Besao tercampak ke halaman, ” lepaskan laki aku, lepaskan!. lepaskan laki aku, lepaskan!.... lepaskan laki aku, lepaskannnnnnnnnnnnnnn!....”

Sang Harimau jantan itu terkejut beruk amat, merasa bisa amat pukulan senduk nibung lalu dengan menggigil Sang Harimau jantan itu melompat lari ke dalam semak belukar Hutan Simpan Belum, lalu daripada kejauhan arah puncak sebuah bukit kedengaran bunyi AUMMUUUUU!.... AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM!, AUMMUUUUU!....AUM?  AUMM! ........

Akhirnya setelah Tambun anak Gediu keluar dari hospital diiringi bini tercintanya Han anak Besou mendapat sebuah rumah batu ada air paip, bekalan elektrik, dan khabarnya kerana gimik politik rumahnya serba lengkap dengan perabot, peralatan, bahan makanan, pakaian, hanya basuh kaki sahaja. Untungnya dia, hampir nyawa=nyawa ikan, mula hidup sejahtera dan makmur

18 Februari 2011
Kuantan, Pahang

BERCERITA ANAK TIRAM DAN MUTIARA


BERCERITA  ANAK TIRAM DAN MUTIARA
Sajak: Arisel Ba

Anak tiram mengeluh berat terhadap ibunya akibat sebutir kerikil tajam menusuk tubuhnya "Anakku," kata sang ibu dengan air mata bercucuran  "Tuhan tidak memberi sepasang tangan pun, sehingga tidak  terdaya ibu menyelamatkan kamu." Si ibu terdiam,

"Pasti sakit sekali, aku tahu anakku terimalah itu sebagai takdir alam hidupmu, perkasakan hatimu. Jangan terlalu lincah lagi. Kukuhkan semangatmu melawan ngilu nyeri, balutlah kerikil itu dengan cecair perutmu, hanya itu yang boleh kau perbuat", Kata ibunya sayu, sendu dan lembut.

Anak tiram pun ikut nasihat ibunya, ada hasilnya, tetapi rasa sakit teramat sangat, dengan air mata ia bertahan, bertahun lamanya, tetapi tidak disedarinya sebutir mutiara terjelma, makin lama makin hilang rasa sakitnya, dan semakin lama mutiara itu membesar, rasa sakit menjadi terasa lebih wajar.

Akhirnya sesudah beberapa tahun,  sebutir mutiara besar, utuh gemerlapan, deritanya berubah menjadi mutiara; air matanya menjadi sangat berharga, dirinya kini, hasil derita bertahun-tahun,lebih berharga daripada sejuta tiram lain yang disantap sebagai tiram rebus pinggir jalan.

Februari 2005 – September 2010
Kuantan, Pahang

BERCERITA SUNGAI PAHANG DAN PASIRNYA


BERCERITA  SUNGAI  PAHANG DAN PASIRNYA
Sajak Arisel Ba

Sungai Pahang, asalmu dari puncak Gunung Tahan mengalir berabad lama melintasi ngarai dan tebing, akhirnya melalui bukit dan lembah luas terbentang, malangnya airmu gagal menakluki pasir di tebing atau dasar sungai, setiapkali melintasinya, airnya sirna  ke dalam pasir, sungai akur dengan takdir, airnya diserap pasir.  Sungai Pahang  mendengar bisikan pasir," Angin boleh merentasi pasir, sungai pun pasti boleh menggusur pasir sampai ke muara?",

Sungai Pahang menolak bisikan, nanti bimbang hilang jati dirinya, "Jika kau terus menakluki perbukitan dan lembah menghanyutkan  pasir, airmu tetap menyerap tebingan dan kau tidak akan tiba ke muara, menjelma rawa-rawa, kau harus mengizinkan angin mendukungmu sederap menyeberangi perbukitan dan lembah, terus menuju muara!,"  kata Pasir.

Sungai Pahang mendiamkan diri dan mencanai akal bicara, dan kalau dirinya itu lenyap, pasti tidak kembali lagi? "Angin," kata Pasir, "menunaikan tugas itu, kamu membawa air, terbang di atas dadaku, jatuh ke bumi bagai hujan, dan menjatuhkannya lagi, pasti air itu menjadi sungai." Sungai tidak mahu dirinya diserap   angin, bimbang hilang jati diri  Sungai Pahang bermuara.

"Bagaimana aku boleh yakin bahawa itu benar belaka?".

"Memang benar, dan kalau kau tidak percaya, kau hanya rawa-rawa gersang hingga akhir zaman?".

"Tapi, tidakkah aku tetap sebagai Sungai Pahang, seperti kini?".

"Apapun terjadi, kau tetap bergelar Sungai Pahang," bisik pasir. " Intimu dibawa terbang, dan membentuk sungai nanti, kau dipanggil juga sungai, sebab kau pasti tidak mengetahui asalmu itu di mana intinya," dan sungai pun melonjakkan wapnya mengudara, angin setangkas mengangkat menerbangkannya, bebas merintik lembut tatkala atap gunung digapai dan kerana pernah meragukan kebenaran, Sungai Pahang  mengingatkan kembali pengalamannya dan merenungkannya.

"Ya, kini aku mengenal siapa diriku sebenarnya", Sungai  Pahang membijaksanakan akalnya, namun Pasir berbisik, "Kami tahu sebab kami menyaksikannya saban hari; dan kami, pasir ini, terbentang di bawah lapisan tanah, jika tiada airmu, pasir pasti tidak menatap langit."

11 Februari 2011
Kuantan, Pahang