JIN SIGUNTANG
Sajen: Arisel Ba
Sepetang itu aku mendaki Bukit Siguntang
Bersama rombongan Penyair Nusantara
Mahu mencari pusaka Wan Empok Wan Malini
Hanya tinggal kenang padi berbuah emas
Daun berwarna perak berbatang suasa
Hanya ada pusara Raja Si Gentar Alam
Sewaktu aku menuruni Bukit Siguntang
Aku tersandung sebuah botol 500ml
Segera aku mengambil botol itu dan
Dengan gelojoh lalu penutupnya aku buka
Tiba-tiba keluar asap menipis dan menebal
Membentuk raksasa Jin Siguntang dan berkata:
“ Terima kasih Tuan, Tuan telah bebaskan aku,
Atas jasa Tuan ini, aku janji boleh kabulkan
Tiga permintaan daripada Tuan…”
Aku terkejut amat dan bila rasa takut mula reda
Lalu berkata, “ Baiklah Jin Siguntang
Permintaan aku tahun ini hanya ada tiga perkara
Pertama: Memastikan RM2.40 = USD 1 dollar Amerika
Kedua: Semua wang rasuah Pegawai Kerajaan dan Swasta
Dikembalikan ke Bank Negara dan rakyat
Dan semua pelaku rasuah dibicarakan dan dipenjarai
Ketiga: Sistem Pilihan raya Umum Malaysia
Dilaksanakan secara telus, amanah dan tidak menipu.”
Jin Siguntang berfikir sejenak kemudian
Menggeleng-gelengkan kepalanya
Perlahan-lahan jasadnya menjadi asap
Lalu beraduk memasuki botol semula
Dan Jin Siguntang dari dalam botol berseru:
“ Tolong, Tuan, tolong botolnya ditutup semula!!!”
19 Julai 2011,
Bukit Siguntang, Palembang,
Sumatera Selatan
No comments:
Post a Comment