TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday, 11 August 2011

Memperkasa Bahasa Melayu sebagai jati diri nasional.



Memperkasa Bahasa Melayu sebagai jati diri nasional.
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor, Phd. (UKM)

Memperkasakan bahasa Melayu mestilah dilakukan di peringkat akar umbi. Bermula dari Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) rasa cinta terhadap bahasa iaitu bahasa Melayu mestilah diterapkan dalam hati dan sanubari mereka.

Usaha boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti seperti menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu, membaca kuat dalam bahasa Melayu, bertutur dan bersyarah dalam bahasa Melayu. Pada masa kini kebanyakan TASKA dan TADIKA menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama.

Bahasa Melayu mestilah diberi keutamaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu sejak di awal persekolahan lagi. Kajian pakar-pakar psikologi menjelaskan kecintaan bahasa dan minat terhadap bahasa mestilah bermula dengan penyerapan rasa cinta dan melaksanakan penggunaannya dengan lebih berkesan.

Menurut Profesor Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan pemilihan hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional, walaupun di dalam Negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya. Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk menonjolkan jati diri nasional, bukan sahaja perlu diteruskan malah ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.

Penonjolan jati diri nasional dapat dilakukan melalui bahan-bahan seperti pantun, syair, gurindam, seloka, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, kata-kata hikmat juga diterapkan kepada pelajar di peringkat yang lebih awal. Apabila rasa kecintaan ini timbul mereka akan menerima bahasa itu sebagai bahasa yang dicintai dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Pada masa kini, bahasa Melayu dipelajari hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan sama ada peperiksaan biasa di sekolah ataupun peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rasa cinta dan usaha ingin memperkasa bahasa tidak diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah.

Pelbagai kegiatan bahasa boleh dilakukan di sekolah bagi memperkasa bahasa dan mencintainya seperti menyanyi lagu-lagu dalam bahasa Melayu, bersyarah, mendeklamasikan sajak, bersyair, berpantun, berpidato, ujian lisan, berbahas, memberi ucapan semasa perhimpunan, bercerita, perbincangan, membuat ulasan buku, membaca berita, berdialog dan mewawancara dalam bahasa Melayu.

Pada masa kini, terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di seluruh dunia. Bilangan pengguna ini boleh ditambah lagi dengan bilangan pengguna muda yang bermula di peringkat TADIKA, TASKA, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat universiti.

Namun yang paling penting, setiap pengguna mestilah ada rasa cinta yang mendalam terhadap bahasa Melayu, sentiasa mempraktikkannya dalam kehidupan seharian, meningkatkan penggunaannya dalam bidang ilmu dan menulis buku dalam pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu.

Jika dahulu bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa. Pada masa kini bahasa Melayu seharusnya dimantapkan dan diperkasa sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa di internet dan juga menguasai langit terbuka.

Semua pencinta bahasa tidak harus lupa dan alpa mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa terpenting di negara ini dan seterusnya di dunia. Kemampuan tinggi Bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi. Pemaparan bahasa Melayu di papan-papan iklan mestilah diutamakan selain bahasa lain.

Sebenarnya kemelut Bahasa Melayu ini banyak berpunca daripada sikap tidak sungguh-sungguh dalam kalangan kita. Jangan salahkan sesiapa jika bahasa Melayu dipinggirkan. Sejarah telah meletakkan bahasa Melayu bahasa terpenting di rantau ini, hanya kita yang perlu memperkasakan pada setiap masa dan ketika.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, rakyat seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Melayu yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia. Dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh negara, bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding bahasa-bahasa lain.

Penerbitan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu mesti diperhebat dari semasa ke semasa. Penggunaannya mestilah meluas di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti serta kepada orang awam. Kegemilangan bahasa Melayu akan kembali bersinar apabila semua pihak berusaha memartabatkan.

Lantaran itu, Datuk Seri Mohemed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, menegaskan kementerian mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu dengan betul supaya mereka mudah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan, sekali gus dapat mengembangkan penggunaan bahasa itu di negara mereka. Selain itu, kita juga perlu ikon akademik bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

Sesungguhnya, usaha memperkasakan bahasa Melayu adalah menjadi tugas semua rakyat Malaysia. Melalui penggunaan yang betul dalam percakapan dan penulisan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu berdaya maju.


GELIAT WAKIL RAKYAT 3





GELIAT WAKIL RAKYAT 3
Sajen: Arisel Ba

Anak seorang wakil rakyat
menjadi bendahari tabungan kelasnya
Lalu pada suatu hari Kudin menggunakan
wang kelasnya untuk membeli
CD Upin dan Ipin, lalu dia dipanggil
ke bilik guru kelasnya

Gurunya bertanya kepada Kudin:
“ Mengapa Kudin guna wang kelas
untuk keperluan sendiri
sebagaimana aduan rakan-rakan kamu?
Apakah kamu sedang kesesakan?”

Kudin terus menjawab, “ Tidak, cikgu!”

Gurunya terus mencelah, “ Lalu mengapa?”,
sedang Kudin tunduk dan diam

Gurunya terus menyoal, “ Cepat kamu beritahu,
jika tidak, saya laporkan kepada bapa kamu!”

Kudin dengan yakin memberitahu:
“ Cikgu segera laporkan kepada
bapa saya, saya tidak kisah pun
kerana bapa saya membelanja wang rakyat
untuk kepentingan peribadinya!”

Guru itu pun tersentak dan melopong?…

11 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang

ILALANG TUMBUH



ILALANG TUMBUH
Haiku: Arisel Ba

Ilalang tumbuh
Akar jadi penawar
Kawal diabetes

Musim kemarau
Ilalang kering mati
Dijilat api

11 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang

Monday, 8 August 2011

Sastera Pahang perlu bangkit



Sastera Pahang perlu bangkit
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/08/08
Tidak cukup sekadar membariskan pengarang besar daripada muka lama

FORUM Sastera Kontemporari Pahang akan lebih bermakna sekiranya panel yang menjayakan program terbabit memperkatakan strategi yang boleh dirancang untuk dilaksanakan demi memantapkan perkembangan sastera di negeri itu berbanding memperkatakannya secara umum.

Tanpa menafikan Ahli Lembaga Muzium Negeri Pahang, Datuk Yaakob Isa, ada menyinggung kepentingan mengumpul dan menerbitkan semula naskhah sastera tradisional khususnya garapan pengarang yang berasal dari Pahang, tetapi dibincangkan secara longgar.

“Pada 1972 saya ada mencari hasil koleksi sastera Pahang yang terdahulu dikumpulkan penggiat sastera Pahang, Zakaria Hitam yang berjaya mengumpulkan 270 sastera rakyat Pahang dan satu daripadanya, Raja Donai Bahtera Kulit Kacang yang begitu bernilai untuk diterbitkan semula,” katanya ketika memperkatakan Sastera Tradisional Pahang.

Yaakob turut memaklumkan antara naskhah teks tradisional dalam simpanannya ialah Hukum Kanun Pahang dan kamus loghat Melayu yang menurutnya boleh diterjemahkan ke bahasa Melayu moden dan diterbitkan semula.

Forum Forum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) berlangsung di Kuantan, baru-baru ini, dihadiri sejumlah guru bahasa Melayu dari sekitar Pahang dan KIPSAS.

Ketua 1, Dewan Persuratan Melayu Pahang, Datuk Dr Muhd Mansur Abdullah, menyorot sejarah sastera negeri itu dengan menampilkan novel Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan karya Ahmad Kotot yang diterbitkan pada 1927 sebagai pembuka bicara.
“Pahang turut mempunyai novel patriotik terbaik yang pernah dihasilkan dan masih tiada tolok bandingnya, Putera Gunung Tahan karya Ishak Muhammad atau Pak Sako, selain beberapa nama besar lain seperti Sasterawan Negara (SN), Keris Mas, Ibrahim Omar dan Arman Sani,” katanya.

Baginya hakikat Pahang mempunyai beberapa nama besar dalam dunia sastera tanah air adalah suatu membanggakan, lebih-lebih lagi jika dilihat dari sudut mutu karya yang setanding dengan penulis novel dari negeri lain.

Penyair yang juga guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera, Shahrunizam Abd Talib, meninjau dunia persajakan negeri terbabit dengan memperakukan bahawa mengakui bahawa jumlah puisi buah tangan penyair dari Pahang sedikit jumlahnya berbanding novel dan cerpen.

“Jika diperhatikan, tidak ramai penyair Pahang yang ada menghasilkan kumpulan puisi perseorangan dan jauh ketinggalan berbanding Kelantan dan Johor, walaupun negeri ini banyak melahirkan nama besar dalam bidang penulisan novel dan cerpen seperti yang diketahui umum.

“Senario ini mempamerkan ada kekosongan dalam bidang penulisan puisi di Pahang pada ketika ini kerana kurangnya penyair yang bergiat aktif. Saya berharap lebih ramai akan menceburi bidang ini pada masa depan,” katanya yang ada menghasilkan kumpulan puisi perseorangan berjudul Bahasa Senjata.

Kesedaran yang ditunjukkan Shahrunizam itu sepatutnya dijadikan sebagai penggerak untuk memperhebatkan lagi kegiatan sastera dan penghasilan karya di negeri itu agar tidak terus leka dibuai nostalgia silam dengan nama besar pengarang mereka. 

Saturday, 6 August 2011

RUMPUT DI PADANG



RUMPUT DI PADANG
Haiku: Arisel Ba

Dipijak kaki
Haus menadah hujan
Rumput di Padang

Lembu pun kurus
Petani doa hujan
Pijar mentari

7 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang

Friday, 5 August 2011

BERSENGKETA DENGAN AIR



BERSENGKETA DENGAN AIR
Sajak: Arisel Ba

Semalaman aku bersengketa dengan air
Sungai Jelai arusnya deras mengalir
Bertumbuk bersilat, menyelam tersungkur
Berebut sebukit terpisah dari tebing alur

Biar payah semput lelah aku mengejar
Biar basah aku bersengketa dengan air
Sungai Jelai keruh berminyak tohor berpasir
Sukar mengintai seluang, lampam dan nyuar

Beginilah hikayat mu Sungai Jelai purba
Bukan menjadi laluan jong untuk berlabuh
Pendosa alam berabad lama hidap derita
Pada masa depan, saliran air mu sejernih?

Semalaman aku berseteru dengan air
Sungai Jelai arusnya mudik ke hulu
Sebukit itu aku kerenyot menjadi cair
Sedar diri daripada mimpi era lampau

6 Ogos 2011,
Kuala Lipis, Pahang

Ramadan ranum dalam sajak.



Ramadan ranum dalam sajak.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.                                       

Sebagai penyair yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan menulis melalui bahasa yang berseni dan indah dapat melontarkan rasa keterharuan dan ketakwaan kepada manusia lain. Penyair yang sentiasa berpegang kepada tali Allah akan sentiasa diberkati dan dianugerahi pahala daripada amalannya.

Pekerjaan sebagai penulis  atau penyair adalah suatu pekerjaan yang mulia, jika selalu menetapkan hati dan diri bertakwa hanya kerana Allah. Ramadan juga menjadi pilihan ramai penyair untuk mengungkapkan rasa hati tentang fadilat Ramadan. Pemikiran yang mengalir dengan lancar pada setiap frasa memberikan kesan kesedaran kepada pembaca.

Melalui bahasa penyair menganyam kata-kata pada baris puisi-puisinya, dianyam juga bunyi, simbol, bahasa figuratif, dan unsur-unsur stilistik yang lain sebagai hiasan dan keindahan kepada setiap estetik puisi.

Cinta kepada Allah adalah makam puncak dalam beribadah. Ia juga menjadi inti agama. Penyair diingatkan supaya tidak menulis perkara yang sia-sia dan sesat. Ingatan Allah ini terpancar melalui Surah Al-Anbiya 21:5, Asy-Syuara 26:224, As-Saffat 37:36, At-Tur 52:30 seharusnya sentiasa menjadi rujukan dan ingatan semasa menulis.

Allah menegaskan bahawa manusia akan diangkat menjadi Khalifah-Nya di atas muka bumi, dengan ketentuan mereka harus menjalankan segala ajaran-Nya, iaitu beriman dan beramal salih. Justeru sastera dan agama tidak boleh dipisahkan. Peranan penulis atau penyair seharusnya terus mengungkapkan rasa ketakwaan dan keimanan kepada Allah serta mengajak para pembaca melakukan ibadah seperti puasa di bulan Ramadan.

Berkaitan dengan puasa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “ Barang siapa Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”  (Riwayat Al Bukhari).

Justeru, beberapa penyair sering mengungkapkan melalui bahasa cinta dan semangat kecintaan kepada Allah. Nilai Islam dan kecintaan kepada agama sering diucapkan melalui sajak-sajak mereka.  Antaranya penyair Hadzrami AR,  Kemala, Wan A. Rafar,  Shafie Abu Bakar, Nahmar Jamil,  Wadi Leta S.A, Abdul Hadi Muhammad,  Abdul Hadi Yusof, Abham T.R, Amin Mihad, Hasyuda Abadi, Subari Ahmad, Zahari Hasib, Pena Mutiara, Shamsudin Othman, dan Fadh Razy. Penyair-penyair ini juga pernah mengungkapkan puisi berkaitan dan bertemakan Ramadan. Di tangan mereka meranum keindahan dan fadilat Ramadan.

Beberapa penyair lain juga menulis sajak tentang Ramadan antaranya Husna Nazri melalui puisi-puisinya Pohon Ramadan, Ramadan di Badar ,Ramadan Yang Singgah, Mengalir Di Sungai Ramadan,  Lelaki dan Pedang Ramadan, Kaktus Ramadan, Lailatulqadar, Mencarimu- Ramadan. Perhatikan petikan sajak Pohon Ramadan karya Husna Nazri  di bawah ini:

Rendangmu
Merimbun teduh
Di bawah langit mubarah
Dinding gerimis luruh
Disisir daun-daun rindu
Cinta yang dipasak di halaman bumi
Menyentuh wajah nurani
Kasih Ilahi yang tumbuh
Di dakapan seorang insani
-sabar rupanya masih setia
Melilit akar diri
Tunjang yang merawat emosi
Adalah doa-doa
Yang limpah
Di ranting hari
Jauh di puncak,
Bunga-bunga syukur
Menutup tikaman getir
Matahari.

Di bawah pohon Ramadan
Aku dingin
Dalam penghayatan
Mencari makna diri
Di halaman Ilahi.

(Petikan sajak Pohon Ramadan, karya Husna Nazri Kota Intifadah DBP: 2006)

Pada hakikatnya puasa Ramadan dapat melatih umat Islam berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan diri daripada perbuatan keji dan mungkar dan menghiasi diri dengan akhlak mulia serta menyuburkan semangat cintakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Peranan akhbar dan majalah yang menyiarkan sajak-sajak bertemakan Ramadan sangat dialu-alukan oleh penulis.

Usaha mencari makna diri di bawah ibadah Ramadan seharusnya menjadi tanggungjawab umat Islam. Melalui ibadah puasa Ramadan setiap umat patut bersyukur atas anugerah Allah selama hidup di dunia ini yang penuh dengan kegetiran, kepayahan juga kenikmatan. Ibadah puasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri di samping ibadah yang lain, malah menjana keluhuran iman dan takwa kepada Allah untuk memperoleh kebahagiaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap penyair mengungkapkan tema ibadah seperti ibadah puasa sebagai melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini. Kumpulan puisi Ramadan juga berkembang di Internet melalui penyair-penyair baru.

Banyak fadilat puasa di bulan Ramadan yang boleh diungkapkan oleh penyair. Bahasa di tangan penyair lebih ranum dan harmonis untuk mengajak umat Islam beribadah kepada-Nya.

Penyair boleh menyuarakan antaranya tentang fadilat puasa adalah membentuk manusia bertakwa kepada Allah, dapat mengukuhkan Islam, turunnya Al-Quran  yang menjadi petunjuk kepada manusia, menghapuskan segala dosa yang lalu, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.

Justeru, puasa Ramadan juga perisai daripada perbuatan keji dan mungkar, dapat mengendalikan hawa nafsu, membina kesihatan rohani dan jasmani,  melatih manusia hidup berhemat dan sederhana, melatih manusia berdisiplin dalam makan dan minum, melatih manusia sabar dan tabah menghadapi dugaan hidup,  memperoleh tujuh ratus pahala amal kebajikan, ibadah istimewa yang tiada tandingannya, dapat menambah keimanan dan kecintaan kepada Allah, membuka jalan manusia untuk bertaubat kepada Allah dan doa dimakbulkan oleh Allah. Adanya malam dan keistimewaan Lailatulqadar.

Bakat dan kebolehan penulis dan penyair dapat mengungkapkan kehebatan Ramadan melalui keindahan puisi khususnya sajak. Penyair juga dapat mengajak orang ramai beriman, beramal soleh dan bertakwa demi menegakkan kebenaran Islam. Seperti kata Penyair Nahmar Jamil melalui sajaknya Pulang Ke Alam Agama.

Bangkitlah Islam
Memikul amanah
Mendepani cabaran
menaburkan rahmat ke penjuru alam.

(Petikan sajak Pulang Ke Alam Agama; Antologi Perubahan DBP: 1996)


Sebagai penulis dan penyair menurut pandangan Imam Al-Ghazali, sesebuah karya pengarang, keindahan puisi penyair, keindahan lukisan pelukis atau keindahan bangunan yang dibina oleh arkitek mencerminkan keindahan dalaman  manusia pencipta. Menurutnya, oleh sebab Tuhan sempurna (indah) oleh sifatnya Yang Maha Mengetahui, maha Berkuasa dan maha Sempurna manakala sifat-sifat (indah) yang terdapat pada manusia dapatlah dirumuskan bahasa segala manifestasi keindahan dalaman yang dialami oleh para seniman akan memimpin seniman kepada kasih dan sayangnya kepada Tuhan. Sebarang objek yang mencerminkan keindahan dalaman ini dianggap sebagai keindahan sebenar.


Thursday, 4 August 2011

GELIAT WAKIL RAKYAT 2



GELIAT WAKIL RAKYAT 2
Sajen: Arisel Ba

Suatu pagi muncul seorang wanita
mahu ditemu duga menjadi setiausaha
di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat
dengan yakin wanita itu memperkenalkan diri:
“ Saya, Fatimah, sudah tiga kali berkahwin,
Status kini menjanda, tiada anak”

Wakil Rakyat mula menemu duga:
“ Saya mahu tanya, ada orang kata,
Kamu masih perawan, tapi kamu
sudah pun berkahwin tiga kali!”

Fatimah segera menjawab:
Begini, Yang Berhormat, suami saya
yang pertama ‘mati pucuk’,
Suami saya yang kedua itu
seorang ‘gay’, jadi saya tidak diusiknya

Wakil Rakyat terus bertanya:
“ Bagaimanakah suami kamu yang ketiga?”

Fatimah tangkas menjawab:
“ Suami saya yang ketiga memang segak,
gagah dan macho, memang seorang lelaki
tetapi dia ‘Orang Partai Politik’, jadi
jarang ada di rumah dan saya sunyi”

Wakil Rakyat terus mahu tahu:
“ Lalu, apa hubungannya dengan
keperawanan kamu?”

Fatimah terus menjelaskan:
“ Ah, Yang Berhormat pasti mengerti
gelagat ‘orang partai politik’, akhirnya
Saya masih suci, masih sepi!”

“ Maksud kamu?, “, tukas Wakil Rakyat
Tidak sabar ingin tahu rahsia Fatimah,
Berjaya mengekalkan keperawanannya

“ Suami saya yang ketiga itu aktivis
‘Orang Partai Politik’ yang sibuk dan
dia cuma tabur macam-macam janji, itu, ini,
tetapi tidak pernah direalisasikannya.”

Wakil Rakyat terkedu, dan terus
mengucapkan terima kasih kepada Fatimah:
“Calon lain!.....”

5 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang

GADIS AMPERA



GADIS AMPERA
Haiku: Arisel Ba

Gadis Ampera
Dimega langit senja
Bermain ombak

17 Julai 2011,
Kota Palembang,
Sumatera Selatan