TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday, 27 March 2011

WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.


WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.
DR AMINUDINMANSOR. 

Peranan beberapa orang tokoh sasterawan dan wartawan sebelum merdeka sangat besar dan penting dalam politik tanah air khususnya untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Kebanyakan mereka berjuang dalam dua lapangan iaitu sebagai wartawan dan sasterawan dalam konteks pembangunan bangsa ke arah kemerdekaan dan kedaulatan seharusnya dihayati oleh generasi masa kini.

Kebanyakan mereka berpegang kepada prinsip untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan dan berusaha membuka minda rakyat khususnya bangsa Melayu melalui tulisan kewartawanan dan juga hasil karya berupa cerpen, novel dan sajak.

Salah seorang daripada mereka adalah Allahyarham DrIshak Haji Muhammad atau Pak Sako  yang berjuang menegakkan keadilan dan kemerdekaan melalui tulisannya sebagai wartawan dan sasterawan. Beliau memainkan peranan penting dalam usaha menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya tampuk kuasa politik dipegang oleh penduduk negara ini khususnya orang Melayu berpaksikan kepada kedaulatan raja-raja

Demikian ditegaskan oleh Prof Madya Dr. Abu HassanHasbullah, pensyarah Universiti Malaya dalam pembentangan di Seminar Pemikiran Pak Sako di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Menurutnya, Pak Sako adalah seorang tokoh nasionalis dalam sejarah moden negara yang berjuang dan sanggup berkorban masa dan tenaga  dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dengan pergi merantau ke seluruh pelosok negara terutama di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan danTerengganu.

“Pak Sako juga menjadi aktivis politik, selain penglibatannya sebagai wartawan dan sasterawan yang menguasai ketiga-tiga bidang ini, sekali gus membuktikan kesusasteraan boleh menjadi alat berkesan untuk menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.” Jelasnya.

Beliau menyarankan supaya anak-anak muda membaca kembali beberapa tulisan dan novel Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan, dan Anak Mat Lela Gila yang banyak memuatkan kisah perjuangan bagi pengajaran dan teladan politik pada masa kini.

Menurutnya, dalam buku tersebut telah dijelaskan tentangisu rasuah, bodek membodek untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat, kemiskinan dan kelemahan orang Melayu, isu tanah, pasir yang telah pun disentuh oleh pak Sako melalui pemikirannya yang melangkau hingga ke zaman kini.

Sementara, tokoh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, mengimbau kembali perjuangannya dengan Pak Sako semasa berada di Singapura dengan menggunakan bidang penulisan untuk menyedarkan masyarakat melalui duamajalah remaja yang dibaca oleh golongan remaja di negara ini.

Menurutnya, Pak Sako mendapat bimbingan Allahyaraham Abdul Rahim Kajai, begitu juga dengan tokoh wartawan dan sasterawan A. Samad Ismail yang juga berjuang menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.

Sementara itu, menurut Ketua 2, Gapena , Datuk Dr. A. Latiff    Bakar, beliau membuat kajian ijazah pertamanya tentang perjuangan Pak Sako  yang sangat menarik melalui liku-liku hidup yang penuh ranjau dan perjuangan demi memartabatkan kedaulatan bangsa Melayu.

Sepanjang beliau bersama Pak Sako, tokoh nasionalis tersebut mempunyai pemikiran yang kritis terhadap perjuangan bangsa melalui politik, kewartawanan dan kesusasteraan dan diibaratkan sebagai “serampang tiga mata” dalam perjuangan menentang penjajah.

Penglibatan penulis semasa menjadi setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bersama Pak Sako sekitar tahun 1972 hingga 1982, beliau sering pulang ke kampung halamannya di Temerloh selalu bertemu dengan sahabatnya Allahyarham Sahmad Malaya dan Haji Alang Ahmad bekas wartawan Utusan Melayu di Temerloh. Beliau seorang pejuang nasionalis tulen yang mengambil berat terhadap kehidupan petani, buruh, nelayan dan golongan bawahan yang miskin juga terkenal sebagai seorang yang pemurah serta dermawan dan sanggup turun ke bawah melihat dan membantu golongan tersebut.

Nama Pak Sako bukanlah satu nama asing bagi negara kita terutama dalam bidang kesusasteraan. Pak Sako sebenarnya adalah jolokan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden ketika kemuncak perjuangan menuntut kemerdekaan. Buku dan tulisannya  yang banyak seharusnya diterbitkan semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Utusan Melayu bagi bacaan generasi muda masa kini selain memberikan nama tokoh tersebut kepada Hadiah Sastera atau Kewartawanan di negara ini.

RUMPUN MELAYU


RUMPUN MELAYU
Haiku: Arisel Ba

Pasca Atlantis
Laut melimpah bumi
Rumpun Melayu

27 Mac 2011,
Kuantan, Pahang

HUJAN DAN BANJIR

HUJAN DAN BANJIR
Haiku: Arisel Ba

Banjir dan hujan
Kenapa singsing kain
Seteru Politik

26 Mac 2011,
Kuantan, Pahang

Friday, 25 March 2011

OPERASI ODYSSEY DAWN 4


OPERASI ODYSSEY DAWN 4
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba


Memasuki hari keenam, maraknya api sengketa antara Tentera Libya dengan Pemberontak masih menyala di bumi Libya; Tripoli, Misrata, Benghazi, Ajdabiyah masih bermandi darah, bedilan demi bedilan dari Tentera Bersekutu daripada arah udara dan laut masih belum dihentikan, apakah makna serangan sebuah Jet Pejuang Perancis terhadap sebuah pesawat Tentera Libya yang sedang mendarat di Pangkalan Tentera Misrata?

Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata, “ Tentera Bersekutu akan bergerak di bawah panji-panji NATO menguatkuasakan Zon Larangan Terbang demi melindungi orang awam, sedang 350 buah pesawat Jet Pejuang bersedia untuk membedil Libya selagi Muammar Gaddafi tidak menyerah kalah.

Dilaporkan Tentera Libya masih menyerang Pemberontak yang berselindung di sebalik bukit pasir tanpa memiliki senjata berat, kepimpinan, komunikasi dan pelan strategik, manakala penganalisis meramalkan pihak Barat akan menanggung kos melebihi USD1 Bilion bagi menguatkuasakan Zon Larangan Terbang di Libya jika Operasi Odyssey Dawn berlarutan beberapa bulan akan datang.

25 Mac 2011,
Kuantan, Pahang


Thursday, 24 March 2011

Minda: Cabaran pembinaan sahsiah remaja

Minda: Cabaran pembinaan sahsiah remaja

Oleh Dr Aminudin Mansor

DEWASA ini, pelbagai laporan berita sering menumpukan kepada perilaku remaja. Tumpuan ini khususnya kepada remaja yang berada di sekolah menengah, tidak kira sekolah asrama penuh ataupun sekolah harian. Kes yang sering dilaporkan adalah berkaitan dengan kes buli, pergaduhan, samseng, merokok dan penagihan dadah. Pelbagai kes ini kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah mesti selari dan seimbang dilakukan ibu bapa dan diteruskan guru.

Bagi melahirkan remaja berakhlak dan bermoral, pendidikan nilai murni dan keagamaan adalah menjadi asas di rumah. Isu remaja bermoral dan tidak bermoral atau remaja berakhlak mulia dan berakhlak rendah mempunyai faktor dalaman. 

Faktor dalaman ini pula berkait rapat dengan didikan yang diterima seorang remaja daripada kecil hingga ke belasan tahun atau sampai baligh. Apa saja yang dialami kanak-kanak sejak lahir, semuanya akan memberikan kesan kepada minda dan emosi kanak-kanak berkenaan. 

Sementara faktor luaran adalah persekitaran yang baik. Masyarakat di mana remaja tinggal menyumbang ke arah kebaikan iaitu masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, bekerjasama, saling membantu dan mengelakkan sebarang gejala sosial yang tidak baik.

Daripada perspektif psikologi pakar dari Barat telah mengemukakan pendapat yang hampir sama iaitu punca keruntuhan moral atau akhlak adalah disebabkan kurang daya penyesuaian remaja dalam menangani cabaran dan dugaan yang melanda mereka. Kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan pengalaman remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Menurut Alfred Denning, kebanyakan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial berasal daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah. Keluarga yang berpecah adalah keluarga yang berpunca daripada suami isteri yang bercerai. 

Anak yang kecil itu seperti sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya.
Alasan inilah yang menuntut ibu bapa memberikan didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak itu masih kecil, didik dan ajar mereka tentang akidah, ibadah dan akhlak yang baik. Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak. 

Setiap anak mempunyai hak bagi mendapatkan dua perkara iaitu, makanan baik dan pendidikan yang baik. Makanan yang baik adalah makanan berkhasiat, sementara pendidikan baik ialah pendidikan seimbang iaitu ilmu dunia dan akhirat. 

Apabila ibu bapa tidak mampu mendidik dan menjaga anaknya, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Jelaslah pelbagai gejala sosial yang dilakukan remaja di luar rumah adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik di rumah. 

Asas pendidikan di rumah mesti menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan akidah ialah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini. 

Sementara pendidikan ibadah melibatkan perkara berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan segala anggota dan pancaindera manusia mengabdikan diri kepada Allah. Pendidikan ibadah juga merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah. 

Pendidikan akhlak di rumah oleh ibu bapa merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk ke arah membentuk Muslim yang terbaik. 

Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sepohon pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya ialah kefarduan, daun-daun ialah amalan sunat, maka buah atau bunganya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri. 

Justeru Nabi s.a.w. berpesan: “Sesungguhnya, orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Melahirkan dan mewujudkan remaja bermoral mesti dilakukan sejak anak itu masih kecil. Peribahasa ada mengatakan ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’ Pendidikan yang bermula daripada kecil lebih mudah dan ia merupakan lambang kejayaan pendidikan akidah dan ibadah setelah dewasa. 

Ibu bapa dan guru yang berjaya dalam menanamkan nilai akhlak ini kepada anak dan pelajarnya merupakan ibu bapa dan guru yang cemerlang. Pendidikan akhlak adalah menjurus kepada pendidikan pembangunan insan boleh mencapai kejayaan yang baik jika mempunyai model terhadap aspek yang dihuraikan. Model yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah model ikutan yang utama. 

Memang terlalu sukar untuk membentuk diri anak menjadi insan soleh dalam kehidupan hari ini. Tetapi dengan kesabaran, kegigihan dalam membentuk insan soleh, ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak mengikut acuan yang baik. 

Membina jati diri anak hingga remaja memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Akhlak dan kesopanan adalah perkara paling penting dididik dalam hati dan jiwa anak. Fenomena dan perkembangan ini adalah cabaran kepada ibu bapa dalam merealisasikan akhlak yang baik. 

Zaman yang dilalui anak-anak pada hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa hadapi. Cabaran dan gaya hidup anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi. Anak-anak zaman ini lebih matang dan lebih berani untuk bersuara. 

Ironinya, dalam usaha mendidik anak sehingga dewasa memerlukan komitmen semua pihak. Ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk hati dan jiwa anak-anak menjadi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

  Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu



ANDA PILIH SIAPA?



ANDA PILIH SIAPA?  
  :kepada 979,796 Pemilih Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10
   Yang akan mengundi pada 16 April 2011
Sajak: Arisel Ba

Siapakah yang akan anda undi?
Jika calon-calon pilihanmu itu
Dirinya bagai rumah sonder pintu

Siapakah yang anda sandar harapan?
Jika calon-calon pilihanmu itu
Dirinya bagai dermaga sibuk menghitung ombak

Siapakah yang anda pilih bersama berduka?
Jika calon-calon pilihanmu itu
Dirinya bagai darah berkristal di mata

Siapakah yang anda pilih bermanja ria?
Jika calon-calon pilihanmu itu
Dia hanya seorang saudagar menjajakan mimpi

Siapakah yang anda pilih untuk hidup makmur?
Jika calon-calon pilihanmu itu
Tatkala jadi khalifah tinggalkan jemaah


24 Mac 2011
Kuantan, Pahang

Wednesday, 23 March 2011

KUKUTIP ILMU GURU


KUKUTIP ILMU GURU
Sajak Aminudin Mansor @ -AMI MASRA

Dari terowong gelap terpancar sinar
Mendaki  bukit menuruni lembah payah
Menyusuri sungai hidup penuh pasrah
Segala-galanya itu berpandu ilmu guru.

Pancaran ilmu guru ke akal hatimu
Menghidup minda suci jiwa nurani
Usah sia-siakan umur di badani
Ilmu yang ada berbakti dimanfaati.

Cahaya ilmu di dada cekal di akal
Tabah sabar tika menempuh terjal
Ilmu dipelajari amal bawa hikmah
Iman takwa di sejadah hemah.

Pahatkan cita-cita perkasa mulia
Takwa itu titik matlamat utama
Orang beriman melayari bahtera
Cinta bahagia ke pelabuhan syurga.

Ilmu tempatnya bermukim di dada
Menjadi taman kebanggaan manusia
Tidak takbur riak menggapai cita
Teranglah cahaya penyuluh segala.

Jangan tertipu oleh helah dunia
Bersabar di hati jika di hina
Sifat tamak akan membunuh jiwa
Jauhi juga segala sifat prasangka.

Kutiplah segala ilmu gurumu
Ilmunya memahami hakikat kemajuan
Mencari kebenaran tanpa jemu
Terang benderanglah jalan kehidupan.

DPMP Kuala Lumpur, 2010.




BIODATA:

AMI MASRA nama sebenar Dr. Aminudin Mansor. Mantan guru cemerlang. Pernah bertugas sebagai pendidik selama 35 tahun, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi, Selangor. Sekarang penulis bebas sepenuh masa. Mula menulis sajak sejak tahun  1968 hingga kini dan juga genre lain seperti cerpen, esei, rencana dan kritikan. Kini kolumunis Minda di Harian Metro. Sajak-sajaknya pernah tersiar di Berita Harian, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa. Pernah memenangi beberapa pertandingan puisi antaranya. Hadiah Puisi Esso Gapena, Hadiah Puisi Gapena/Shahpadu, Utusan Melayu/Public Bank, Anugerah Puisi Sejarah. Puisi 50 Tahun Merdeka DBP, Puisi Islam ke 3, Hadiah Utama Puisi Hari Guru Selangor. E-mel amimasra@gmail.com

OPERASI ODYSSEY DAWN 3



OPERASI ODYSSEY DAWN 3
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba


Dikhabarkan, dalam tempoh masa 24 jam, lagi 12 buah peluru berpandu Tomahawk telah ditembak ke arah pangkalan tentera Libya dengan 80 serangan udara dicatatkan, Tripoli terus dibedil tanpa rasa belas kasihan, sementara tentera Libya terus memerangi pemberontak di Misrata dan Zenten, lalu Pemerintah Tentera bersekutu, Jeneral Carter Ham memberitahu, “ Kami mula mengurangkan serangan ke atas Libya, kecuali ada sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan.”

Di Misrata, seramai 40 warga Libya terbunuh, manakala 300 cedera semasa Tentera Libya bertempur dengan pemberontak, dan Tripoli, Zuwarah, Misrata, Sirte dan Sebha terus direjam dengan peluru berpandu Tomahawk, di mana darah warga Libya tumpah mengalir membasahi gurun Sahara.

Aku pun menatap wajah demi wajah warga Libya berlumuran darah terdengar jerit tangis menahan pedih luka sedang Obama dan Cameron mencatur strategi apakah Muammar Gaddafi akan mampu bertahan sampai mati?, sedang Gaddafi dengan lantang memuntahkan kata, “ Gayang Uncle Sam dan sekutunya berwajah iblis!”

23 Mac 2011,
Kuantan, Pahang



Tuesday, 22 March 2011

OPERASI ODYSSEY DAWN 2


OPERASI ODYSSEY DAWN 2
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba

Dendam imperialis Bush dan Blair kembali dijana Obama dan Cameron dengan Libya sebagai objek perang demi merebutkan mutiara hitam di Gurun Sahara, lalu terjadi jenayah perang dan pembunuhan sesama manusia atas restu PBB dan Liga Arab sehingga hari ini sebanyak 124 buah peluru berpandu Tomahawk direjam dari kapal perang , kapal selam dan jet pejuang Tentera Bersekutu (USA + UK + Perancis + Itali + Kanada) berhati kering.

Agendanya, Muammar Gaddafi mesti dibunuh lalu armada perang Barat melancarkan gelombang kedua bedilan daripada udara dan laut , dan satu peluru berpandu Tomahawk dihalakan ke kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziyah sehingga hancur lebur dan khabarnya seorang anak Gaddafi dilaporkan terbunuh.

Laksamana Bill Gortney menyatakan bahawa Libya telah lumpuh, tiada lagi aktiviti penerbangan dan sudah tidak dikesan pancaran radar yang baru, sedang bumi Libya masih terus bergelora, terbakar, rakyatnya bertelagah sesama sendiri manakala hati umat Islam di 23 buah negara Arab membara dendam atas gelagat Obama dan Cameron.

22 Mac 2011,
Kuantan, Pahang

Monday, 21 March 2011

LAGU SUNYI

LAGU SUNYI
Sajak:  kelompen

dinihari ini lagunya sunyi
iramanya sepi
sebuah bingkis hati
senandung peribadi
sesekali larah
gumpal resah
tanpa arah.

dinihari ini lagunya sepi
puncak sunyi
mengapung lara
ke laut lepas
tanpa kata
tanpa kias.

bergulung rasa
senandung ombak
riak gelombang
menjadi jarak..

Copyright © kelompen
All Rights Reserved
20032011


OPERASI ODYSSEY DAWN 1

OPERASI ODYSSEY DAWN 1
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba

Seusai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan resolusi 1973,  Zon Larangan Penerbangan di ruang udara Libya, lalu Tentera Bersekutu (USA + UK + Perancis) dengan kedok iblis laknat itu terus meluncurkan 112 buah peluru berpandu Tomahawk bertali arus ke arah 20 sasaran strategik pertahanan udara Libya di pesisiran pantai Libya dari kapal perang dan kapal selam menghujani Tripoli, Sirte, Benghazi, Misrata dan Zuwarah di awal pagi.

Akibat dari Operasi Odyssey Dawn, 64 nyawa warga Libya ‘mati katak’ dan 150 orang warga cedera parah tatkala William Grotney dengan bangga berkata, “ Zon Larangan Terbang kini sudah diawasi dengan baik dan tidak ada nyawa seorang pun warga Libya mati ataupun cedera dalam operasi itu.”

Tetapi angka kematian 64 orang warga Libya itu angkara SIAPA?

Sementara itu Muammar Gaddafi berkata operasi Amerika Syarikat, Britain dan Perancis itu satu keganasan kepada Libya.  “Kami akan pertahankan negara ini daripada musuh asing yang eksploitasi pergolakan di dalam negara kami. Rakyat Libya bersama saya dalam melancarkan perang besar-besaran kepada musuh asing ini. Kami sudah membuka depoh senjata bagi mengagihkan senjata kepada rakyat untuk menentang pengganas ini,” 


21 Mac 2011,
Kuantan, Pahang


Sunday, 20 March 2011

APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN JIKA TIDAK BERMARTABAT



APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN JIKA TIDAK BERMARTABAT

 

http://zubaidiabas.blogspot.com/

 

‘RTM akan terus martabatkan bahasa Melayu’. Demikian salah satu tajuk berita dalam akhbar Utusan Borneo pada 2 Jun 2010 yang lalu. Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya menyatakan bahawa Stesen Penyiaran Negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengutamakan bahasa Melayu dalam program dan rancangannya. Penegasan dan jaminan itu membuat saya berasa cukup gembira. Perasaan yang sama pasti turut dikongsi oleh pejuang dan pencinta bahasa kebangsaan. Sebagai stesen penyiaran negara, RTM memang sewajarnya mempunyai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam memenuhi peranan masing-masing sebagai sarana penyampaian maklumat dan hiburan, pelbagai stesen penyiaran yang ada pada masa ini, khususnya stesen penyiaran swasta lebih cenderung menyemarakkan penggunaan bahasa asing walaupun kedudukan bahasa Melayu jelas sebagai bahasa rasmi negara. Stesen penyiaran berkenaan mungkin berpandangan bahawa penggunaan bahasa asing dapat menarik perhatian penonton dan meningkatkan kadar kepopularan rancangan.
          Dalam sesi akhir pembentangan resolusi Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pendidikan yang berlangsung pada 11 – 12 Mei 2010 yang lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya turut berkesempatan menyuarakan pandangan tentang pelecehan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang dilakukan oleh stesen penyiaran, terutamanya stesen penyiaran swasta. Stesen penyiaran berkenaan bukan sahaja menonjolkan penggunaan bahasa asing dalam rancangannya  secara berlebihan, tetapi juga semakin meminggirkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Dalam rancangan berbentuk hiburan, misalnya, meskipun menggunakan bahasa Melayu, pengacara, pengantara, atau penyiarnya telah menampilkan penggunaan bahasa yang sangat merawankan hati.
          Media massa, terutama media massa elektronik sebenarnya sangat berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Radio dan televisyen dapat mempengaruhi penggunaan bahasa masyarakat kerana jangkauannya yang cukup luas dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Pengacara, pengantara, penyiar, juruhebah, atau penyampai yang menggunakan Melayu yang baik dan betul, misalnya, dapat menjadi contoh atau ikutan dan seterusnya mempengaruhi bahasa penonton atau pendengar. Namun, dalam memartabatkan bahasa Melayu, stesen penyiaran berkenaan didapati belum berperanan seperti yang diharapkan. Dalam hal ini, Zainuri Misfar dalam ruangannya, Fragmen (Berita Harian, 24 Mac 2010) menulis bahawa juruhebah atau penyampai stesen radio swasta tidak mempunyai disiplin dalam berbahasa sehingga penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sudah menjadi sajian biasa kepada pendengar. Stesen radio itu tidak memainkan peranan mendidik para pendengar supaya menggunakan bahasa Melayu dengan teratur, betul, dan berdisiplin. Kenyataan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim tidak lama dahulu bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan bahawa sumbangannya terhadap penyebaran dan penyuburan bentuk bahasa yang tidak bermartabat seperti itu tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, permintaan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi supaya orang ramai membuat aduan tentang penggunaan bahasa pasar atau bahasa basahan yang begitu meluas kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama dahulu juga memperlihatkan keinginan pihak yang berkaitan untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam penyampaian maklumat kepada pendengar. Radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul kepada masyarakat.
         Sebagai sarana yang amat berpengaruh dalam pembinaan dan pengembangan bahasa, kita memang sentiasa mengharapkan agar media massa mengikuti aturan dan kaedah berbahasa yang baik dan betul bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. Media massa harus memerhatikan penggunaan bahasanya kerana media massa secara tidak langsung menjadi ‘guru’ kepada anggota masyarakat dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang digunakan oleh media massa sering dijadikan rujukan dan ikutan oleh anggota masyarakat. Oleh sebab itu, penyimpangan yang dapat mengganggu kelancaran dan keberkesanan komunikasi harus dihindarkan.  
          Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, penggunaan bahasa Melayu memang harus menjadi keutamaan. Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud menempatkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya telah dijalankan sekian lama. Selama lebih setengah abad, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Melalui pelbagai akta, bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi.  Namun, dengan pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang tertentu akibat perkembangan dan kemajuan kehidupan pada masa ini telah menjejaskan martabat bahasa Melayu. Dalam bidang pendidikan, terutama sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan moden, bahasa Melayu tidak lagi memiliki kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat. Oleh itu, keyakinan tentang wibawa bahasa Melayu perlu terus dibina dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.  Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu seperti pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.
         Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dimartabatkan memang belum menjadi kenyataan. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai sebagaimana sewajarnya. Sebaliknya, sebahagian besar anggota masyarakat menganggap bahawa bahasa Inggeris lebih tinggi martabat atau darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Dalam pelbagai acara rasmi, para pemimpin, misalnya, didapati masih cenderung berucap dalam bahasa Inggeris walaupun khalayaknya terdiri daripada bangsa atau kaum sendiri. Kehadiran seorang berdua bangsa asing sering dijadikan alasan untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris. Di sektor swasta pula, penggunaan bahasa Inggeris seolah-olah menjadi sesuatu yang mutlak diperlukan atas alasan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa. Kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara atau pertemuan rasmi, dalam media massa, atau dalam pelbagai kegiatan bahasa memperlihatkan bahawa anggota masyarakat belum benar-benar menempatkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Memartabatkan bahasa Melayu harus dijadikan kenyataan melalui penggunaannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak, apalah maknanya menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sekiranyaz dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kita masih tetap mendahulukan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu!